LONDON, 5 FEB – Britain akan menyewa apa yang dikatakannya penerbangan ‘kedua dan terakhir’ pada hujung minggu ini untuk memindah warga dari wilayah Hubei, China, pusat wabak novel koronavirus.
Pesawat udara awam itu akan meninggalkan ibu negara Hubei Wuhan pada Ahad menuju ke pangkalan tentera udara diraja di Brize Norton di selatan England.
Pegawai perubatan dan Pejabat Luar akan menaiki kapal terbang itu untuk memberikan bantuan jika perlu.
“Kami telah bekerja siang dan malam untuk membantu warga Britain meninggalkan wilayah Hubei, dalam penerbangan UK, Perancis dan New Zealand,” kata Setiausaha Luar Dominic Raab.
“Pejabat Luar sedang menyewa penerbangan UK kedua dan terakhir untuk membantu semua warga Britain dan dependen mereka yang masih tinggal di Hubei meninggalkan tempat itu.
“Saya menggalakkan semua rakyat Britain di Hubei supaya berdaftar dengan kumpulan kami jika mereka mahu meninggalkan rantau dengan penerbangan ini.”
Britain telah menasihatkan semua warganya di China supaya meninggalkan negara itu.
Kira-kira 83 rakyat Britain kembali dari Wuhan dengan penerbangan kerajaan UK dari Wuhan ke Brize Norton pada Jumaat.
Mereka dihantar ke unit pengasingan 14 hari di sebuah pusat perubatan di barat laut England.
Setakat ini, terdapat dua kes di Britain, dua saudara yang baru-baru ini telah mengunjungi China.
Setiausaha Kesihatan Matt Hancock memberitahu televisyen BBC bahawa pasangan itu masih diletak di bawah kuarantin.
“Terdapat dua kes di sini di UK tetapi kami menjangka lebih ramai lagi yang akan dijangkiti, maka kami tidak mahu mengambil risiko,” tambah beliau. – AFP




























