Penerbangan terakhir jemaah haji selamat tiba

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Penerbangan keempat dan terakhir yang membawa seramai 254 orang jemaah haji telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 10:30 pagi hari ini.

Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dipenuhi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang menyambut kepulangan para jemaah haji.

Kepulangan jemaah haji negara turut dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Juga mengalu-alukan ketibaan jemaah haji ialah wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, ACP Dato Paduka Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad; wakil Duta Besar Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Meshal Abdullah A. Habshan; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, pengarah-pengarah dan penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan KHEU serta pengarah-pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.

Penerbangan terakhir berkenaan membawa jemaah haji yang mengikuti pakej Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) termasuk tiga orang pegawai Maktab Urusan Haji Perubatan dan pegawai DHSB.

Bagi memberkati kepulangan jemaah haji itu, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim.

Hadir mengalu-alukan ketibaan para jemaah haji Brunei ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Jemaah haji Brunei bagi penerbangan keempat dan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin.