Penerbangan terjejas akibat Taufan Chanthu

TAIPEI, 12 SEPT – Taufan Chanthu membadai Taiwan dengan membawa hujan lebat hari ini ketika ribut melintasi bahagian timur pantai pulau berkenaan menuju Shanghai.

Di tanah besar China, kerajaan mengeluarkan amaran taufan di Shanghai dan memberi amaran berkemungkinan berlaku hujan lebat.

Perkhidmatan penerbangan dan kereta api di Taiwan ditangguhkan kelmarin ketika ribut menghampiri. Menurut laporan The Central News Agency, lebih 2,000 orang dipindahkan dari kawasan mudah banjir di timur pantai Hualien.

Hari ini, Chanthu berada 70 kilometer di luar timur laut pantai Taiwan, dengan angin berkelajuan 162ksj dan meningkat kepada 198ksj, menurut Biro Pusat Cuaca.

Hujan turun dicatat setinggi 13 sentimeter hari ini di beberapa kawasan, menurut Biro Cuaca. Ia mungkin naik ke paras 20 sentimeter mengikut ramalan.

Hujan lebat dilaporkan di Taipei dan beberapa kawasan lain di pulau berkenaan.

Chanthu diramal menuju utara dan membawa hujan di Shanghai sebelum beralih ke Korea Selatan dan Jepun, menurut Biro Cuaca.- AP