Penerbangan tertangguh akibat lebah

NEW DELHI, 16 SEPT – Sebuah pesawat Air India tertangguh beberapa jam selepas sekawanan lebah hinggap pada cermin kokpit, menyerang kakitangan landasan ketika mereka cuba untuk menghalaunya, kata para pegawai.

Serangga tersebut melekap di cermin terbabit sejurus sebelum pesawat itu hendak berlepas dari bandar timur Kolkata kelmarin yang membawa 136 penumpang, termasuk menteri penerangan Bangladesh.

Kakitangan landasan cuba untuk mengusirnya namun lebah tersebut naik berang, dan apabila percubaan untuk menggunakan pengelap cermin hadapan gagal para pegawai bertukar kepada ‘pelan b’ dan menyemburnya menggunakan air.

“Jabatan Bomba telah dikerahkan untuk menyembur air bagi menyingkirkan lebah madu dan ia berjaya dilakukan selepas operasi hampir satu jam lamanya,” kata pegawai lapangan terbang, Kaucshik Bhattcharya kepada AFP.

Penerbangan ke Agartala di timur laut India akhirnya berlepas setelah terkandas lebih tiga jam setengah.

Lebah-lebah berkumpul apabila ratu lebah meninggalkan koloni yang ada untuk mencari rumah baharu bersama ribuan lebah pekerja. – AFP