Penerbit akhbar UK kurangkan pekerja

LONDON, 7 JULAI – Reach, penerbit akhbar United Kingdom (UK) Daily Mirror dan Daily Express merancang mengurangkan 550 pekerja tatkala koronavirus memaksa pembaca beralih kepada isi kandungan dalam talian dan mengurangkan pendapatan iklan, katanya hari ini.

“Perubahan struktural dalam sektor media telah meningkat semasa pandemik dan ia telah membawa kepada pertambahan dalam penggunaan produk digital kami,” kata ketua eksekutif Reach, Jim Muellen dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, disebabkan permintaan periklanan yang berkurangan, kami belum melihat pertambahan yang sama dalam pendapatan digital.”

Reach berkata syarikat merancang mengurangkan 550 pekerja, atau 12 peratus daripada tenaga kerjanya – tatkala ia menimbang menjimatkan kos tahunan berjumlah 35 juta pound.

Kumpulan itu, yang juga memiliki beberapa akhbar serantau UK, berkata penyusunan semula akan menelan kos 20 juta pound untuk syarikat.

“Editorial akan beralih kepada struktur yang lebih terpusat menggabungkan bersama kumpulan nasional dan serantau dalam cetakan dan digital untuk menambah kecekapan dan menghapus duplikasi sementara mengekalkan identiti editorial jenama berita kami yang kukuh,” kata Reach. – AFP