Penerbitan akhbar berdepan dengan kesukaran

NEW DELHI, 17 JUN – Akhbar India yang beberapa bulan lalu terpaksa berdepan dengan trend arus global yang bertentangan dalam penerbitan berikutan dengan pandemik koronavirus kini terpaksa berdepan dengan kesukaran dan menghadapi kerugian.

Bagaimanapun, akhbar tetap menjadi rujukan berita di negara yang berjumlah 1.3 bilion orang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketika lonjakan berita digital telah menyaksikan penjualan akhbar merosot di seluruh dunia.

Berikutan dengan tindakan lockdown yang telah bermula pada 25 Mac lalu, penghantar akhbar juga berdepan cabaran apabila isi rumah mula bimbang mereka akan membawa kepada penularan virus COVID-19.

Apa yang semakin membimbangkan ialah para pengiklan juga mungkin akan menarik diri, di mana pengiklan merupakan antara sumber utama kewangan bagi sesebuah syarikat penerbitan akhbar.

Dan menurut beberapa anggaran, penjualan normal lebih daripada 50 juta akhbar sehari di seluruh negara turun dua pertiga.

Ratusan wartawan diberhentikan atau gaji para pekerja dipotong dan di Mumbai, sebuah badan amal mengatur bungkusan makanan untuk wartawan yang menganggur.

“India menentang serangan digital untuk masa yang lama tetapi sekarang beberapa akhbar bandar telah dihentikan penerbitannya dan beberapa surat khabar negara melahirkan kebimbangan bagaimana mereka akan meraih semula pembeli dan pembaca akhbar,” kata seorang penyunting kepada AFP.

Akhbar Inggeris di Pune dan Goa ditutup bulan ini dan akhbar kebangsaan seperti Hindustan Times dan Times of India, yang menerbitkan lebih daripada dua juta akhbar sebelum krisis, telah memberhentikan sejumlah kakitangan, memotong gaji dan menutup pejabat.

The Hindustan Times mengatakan dalam e-mel kepada kakitangan bahawa ia kehilangan sekitar AS$500,000 sehari. Akhbar wilayah Mathrubhumi, yang berpusat di negara bahagian selatan Kerala, telah menyaksikan sumber iklan menurun dari AS$6 juta sebulan menjadi AS$500,000, kata pengarah bersama Shreyams Kumar. – AFP

Gambar fail pada 14 Mei 2020 menunjukkan seorang penduduk tempatan membaca akhbar di depan kedai yang ditutup di kawasan perniagaan di New Delhi. Akhbar India kini terpaksa berdepan dengan kesukaran dan menghadapi kerugian. – AFP