Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerima Anugerah HPA ke-31 komited terus menabur bakti

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    Dalam satu majlis sambutan gilang-gemilang yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, anugerah yang diterima oleh para penerima Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-31 pada 1 Oktober lalu menjadi satu penghormatan besar, sekali gus memperkukuhkan janji mereka untuk terus berbakti kepada negara dengan penuh keikhlasan.

    Bagi para penerima, penghormatan itu bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian individu tetapi juga kepada dedikasi seluruh warga perkhidmatan awam dalam memastikan kualiti perkhidmatan kepada negara, kementerian, serta rakyat dan penduduk Brunei Darussalam sentiasa berada pada tahap tertinggi.

    PENTINGNYA INOVASI DALAM MENANGANI CABARAN ZAMAN

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Sambutan Kemuncak HPA ke-31 Tahun 2024 bagi menyempurnakan penganugerahan tersebut.

    Baginda Sultan, dalam titah yang penuh hikmah pada majlis tersebut, menekankan kepentingan inovasi dalam sektor awam, bukan hanya dari sudut teknologi dan sistem tetapi juga dari aspek perubahan minda dan pendekatan bekerja.

    Walaupun Brunei Darussalam telah mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai bidang, Baginda mengingatkan bahawa penjawat awam perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman yang semakin kompleks dan mencabar.

    Hajah Zanatul Aini gambar ramai bersama Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan pegawai dari JPF. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara warga perkhidmatan yang hadir pada Sambutan Kemuncak HPA ke-31 bergambar ramai. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Kamarul berhasrat untuk meneroka bidang lain untuk mempelbagai lagi kemahiran dalam kerja. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Walaupun kita sudah mencapai banyak kejayaan, kita mesti terus berusaha untuk memperbaiki lagi keupayaan diri.

    “Dalam dunia yang semakin kompleks, warga penjawat awam perlu mencari peluang baharu, mencipta nilai tambah, dan berfikir lebih kreatif untuk memastikan perkhidmatan awam terus berada di hadapan,” titah Baginda Sultan.

    Titah Baginda ini mencerminkan harapan untuk melihat sektor awam terus maju dan cemerlang dalam memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

    Baginda juga menegaskan bahawa warga penjawat awam harus sentiasa menjaga misi kerajaan dengan penuh keikhlasan, integriti, dan amanah dalam setiap tindakan yang diambil.

    PENGHARGAAN TERHADAP PENCAPAIAN BERPRESTASI TINGGI

    Majlis tersebut turut menyaksikan beberapa anugerah penting yang diberikan kepada jabatan dan individu yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pelaksanaan tugas mereka.

    Antaranya termasuk Anugerah Inovasi Perdana (AIP) bagi Program Penggredan Prestasi Sektor Awam melalui Penarafan Bintang (3PSA), Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA), dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA) bagi tahun 2024.

    Program 3PSA yang diperkenalkan adalah satu inisiatif untuk menilai prestasi jabatan-jabatan kerajaan dan mengenal pasti ruang-ruang untuk penambahbaikan.

    Jabatan Perkhidmatan Farmasi di bawah Kementerian Kesihatan adalah salah satu jabatan yang terpilih untuk penilaian prestasi melalui program ini.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Hajah Zanatul Aini binti Haji Zainin, dalam temu bualnya, melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima oleh jabatan tersebut.

    Beliau menyatakan bahawa penilaian prestasi ini sangat bermakna dalam usaha untuk memastikan jabatan mencapai standard tertinggi dalam melaksanakan tugas, di samping mengenal pasti ruang-ruang yang boleh diperbaiki.

    Jabatan ini telah berjaya mengekalkan penarafan tiga bintang sejak penilaian pertama kali dijalankan pada tahun 2016, dan kini sedang memperkenalkan inisiatif baharu untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dan masyarakat.

    PENTINGNYA PRINSIP AMANAH DAN KEIKHLASAN DALAM KERJAYA

    Dalam kalangan penerima anugerah individu, kisah Awang Faidhillah bin Haji Majit dari Kementerian Pendidikan amat memberi inspirasi.

    Beliau yang menerima APCPA berkongsi bahawa prinsip amanah dan keikhlasan yang diajar oleh arwah ibunya menjadi pegangan hidup yang membantunya dalam melaksanakan tugas sepanjang 15 tahun berkhidmat dengan kerajaan.

    Prinsip itu bukan sahaja penting untuk memastikan tugas-tugas harian dilaksanakan dengan sempurna tetapi juga bagimemastikan hubungan yang baik antara rakan sekerja dan pihak-pihak yang berkaitan.

    Menurut Awang Faidhillah, anugerah ini tidak hanya memberi makna kepada dirinya, tetapi juga kepada keluarganya, yang sentiasa menyokong dan menjadi sumber kekuatannya dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara.

    Beliau berharap dapat terus berusaha meningkatkan kemahiran dan kompetensinya, selaras dengan harapan Baginda Sultan agar warga perkhidmatan awam sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan mencari peluang-peluang baharu untuk kemajuan sektor awam di Brunei Darussalam.

    KECEKALAN MENGHADAPI CABARAN DEMI TANGGUNGJAWAB KEPADA NEGARA

    Satu lagi kisah inspirasi datang daripada Pembantu Pejabat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Perdana Menteri, Awang Kamarul bin Haji Ja’afar, yang menerima AKB²PA.

    Beliau yang telah berkhidmat selama 14 tahun menyatakan bahawa pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.

    Awang Kamarul yang bertanggungjawab menguruskan persuratan, fail, dan dokumen, menghadapi pelbagai cabaran dalam menjalankan tugasnya, termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Namun, beliau tetap cekal dan komited dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

    Beliau berazam untuk terus berkhidmat dengan lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai inspirasi kepada rakan-rakan sejawatnya.

    INSPIRASI UNTUK MENINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM

    Para penerima anugerah HPA ke-31 telah memberikan inspirasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.

    Anugerah yang diterima bukan sekadar penghormatan, tetapi juga tanggungjawab untuk terus menjaga amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat.

    Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para penerima anugerah itu mencerminkan semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek tugas.

    Setiap penjawat awam, tanpa mengira pangkat atau bidang tugas, memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan kemajuan sektor awam di Brunei Darussalam.

    Sebagai negara yang terus maju ke hadapan, sektor awam memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemakmuran negara. Warga perkhidmatan awam yang komited dan berdedikasi adalah tunjang kepada kejayaan ini.

    Melalui anugerah dan penghormatan yang diberikan, diharapkan warga perkhidmatan awam di seluruh negara akan terus berusaha memberikan khidmat bakti yang ikhlas dan amanah demi kepentingan negara dan rakyat.

    Kesimpulannya, HPA ke-31 itu menjadi satu simbolik kepada kepentingan perkhidmatan awam dalam mencapai kemajuan negara.

    Dengan dedikasi dan keikhlasan dalam menjalankan tugas, para penerima anugerah itu telah memberi inspirasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus memberikan sumbangan terbaik demi kemajuan Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda