Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Penerima anugerah: Penghargaan tidak ternilai

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Perkara pertama jika ingin menangani isu kemiskinan ialah sentiasa fokus dalam pembinaan sahsiah dan minda. Oleh itu, perlu percaya bahawa cara terbaik untuk membina watak dan minda adalah melalui agama.

    Penerima Anugerah Belia Berkhidmat, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin juga menasihatkan untuk sentiasa ikhlas dalam apa jua yang dilakukan.

    “Pengiktirafan akan datang apabila kerja yang kita lakukan itu nampak impaknya kepada orang lain,” ujarnya lagi semasa ditemu bual pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-17 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar yang merupakan penolong pegawai penerangan selaku pengerusi dan pengasas bersama Projek Bina Ukhwah dan Projek Memperkasa Keluarga dan Pembangunan Ekonomi mencurahkan rasa syukur kerana diberi peluang dan berasa tidak percaya atas pencapaian beliau hari ini.

    “Tetapi saya percaya bahawa apa sahaja yang dicapai hari ini sebenarnya adalah usaha kolektif semua orang yang menyokong saya dan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan selama 20 tahun bergelar sukarelawan,” katanya.

    Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar semasa ditemu bual pada Majlis Sambutan HBK ke-17.
    Awang Agus dengan projek Bloodkad.

    Selepas menerima ‘The Queen Young Leaders Award’ pada tahun 2018, beliau mengongsikan ia menjadi pembakar semangat untuk dirinya dan pasukan untuk memulakan projek lestari baharu bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

    “Kami mengasaskan bersama ‘Project Feed’ yang merupakan platform untuk keluarga kurang berkemampuan menyertai program mentor bagi memulakan perniagaan mereka sendiri dari rumah.

    “Melalui program itu, kami telah membantu tujuh graduan yang sudah memiliki perniagaan sendiri pada masa ini dan kebanyakan mentor adalah pemilik perniagaan dan sukarelawan yang tidak jemu-jemu membantu peserta mempelajari perkara baharu dalam perniagaan,” katanya.

    Projek tersebut, menurut beliau, berkembang sehingga mereka memperoleh pusat mereka sendiri di Kampung Delima Satu yang turut dijadikan pusat mengaji untuk orang yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.

    “Pusat mengaji ini lebih memfokuskan kepada pembangunan dan pembentukan mereka untuk memiliki ‘akhlaqul karimah’.

    Sementara itu, penerima Anugerah Belia Cemerlang 2022, Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, berumur 33 tahun yang merupakan pensyarah, ketua Unit Perancangan Strategik, ketua Unit Perhubungan Profesional UNISSA, mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengurniakan Anugerah Belia Cemerlang tahun ini dan diharapkan semoga anugerah ini menjadi sebagai satu penghargaan negara kepada sumbangan belia-belia.

    Menurutnya, menjadi teladan kepada belia lainnya bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika dilakukan secara konsisten ia pasti akan membuahkan keputusan cemerlang yang akhirnya menunjukkan impak besar mencerminkan kepimpinan masa depan.

    Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang merupakan ketua Kampung Sengkarai, Tutong, yang juga pengerusi dan pemimpin Pergerakan Belia Tutong, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Daerah Tutong, Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong serta Kumpulan IMPAK Daerah Tutong.

    “Dengan anugerah yang diterima ini, Alhamdulillah ianya satu penghargaan bagi saya kerana menerusi pengalaman selaku ketua Kampung Sengkarai juga, inilah (tanda) kepimpinan yang dapat saya tonjolkan,” kongsinya.

    Awang Abdul Aziz juga merancang dan meneruskan lagi aktiviti-aktiviti dan akan memimpin terutama belia-belia di Daerah Tutong dan juga di daerah lain untuk lebih maju.

    “Ini bagi memastikan mereka dapat berusaha lagi dan untuk menjadikan mereka pemimpin kerana belia-belia ini bakal pemimpin masa hadapan,” tekannya.

    Manakala, penerima Anugerah Projek Cemerlang bagi Belia, Awang Agus bin Muslim dari Nextacloud Technologies Sdn Bhd menjelaskan Projek Bloodkad adalah teknologi perubatan yang bertujuan untuk mendigitalkan proses pendermaan darah, menguruskan stok darah di hospital dan juga bank darah.

    “Pada masa ini, kira-kira 16,000 orang telah mendaftar melalui aplikasi tersebut dan digunakan di hospital-hospital di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Temburong dan pada minggu ini ia boleh didapati di Daerah Belait,” jelasnya.

    “Dijangka menjelang suku ketiga tahun ini, Julai hingga September, aplikasi itu boleh digunakan di seluruh negara,” tambahnya lagi.

    Menurut Awang Agus lagi, sebelum ini, Bloodkad merupakan aplikasi percubaan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan diguna pakai selama beberapa tahun dan setelah itu, ia dapat membuktikan mempercepatkan proses derma darah, menjimatkan kos untuk proses derma darah dan dapat menambah kuantiti stok darah oleh sebab kecekapan prosesnya.

    “Buat masa ini, perancangan kami di suku keempat tahun 2022 dan suku awal tahun 2023 adalah untuk mengembangkan Bloodkad ini ke Indonesia secara khususnya di Surabaya, Bali dan Jakarta, dan Malaysia di Miri dan Selangor.

    Awang Agus berharap pada masa hadapan, Bloodkad akan menjadi medium mandatori untuk pendermaan darah khususnya di Brunei dan amnya di serantau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...