Penerima biasiswa Sultan’s Scholar meterai perjanjian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Tiga orang penerima Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bagi sesi pengajian 2020/2021 telah menandatangani perjanjian penganugerahan biasiswa berkenaan, kelmarin, di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan 2020/2021 yang juga telah berlangsung kelmarin di Istana Nurul Iman.

Tiga penuntut yang dianugerahkan biasiswa berprestij itu ialah Awangku Muhammad Asyraff Haziq Iman bin Pengiran Asmali yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal di University College London, United Kingdom
(UK).

Dayang Siti Aisyah binti Salim akan meneruskan pengajian dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Ma’had Qiraat, Al-Azhar, Shoubra, Mesir.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama Dayang Kadrina Abdul Latif selepas menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama Dayang Siti Aisyah sele-pas penandatanganan.
Dayang A’isyah ketika menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa Sultan’s Scholar.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar bersama Awangku Muhammad Asyraff Haziq Iman.

Sementara, Dayang A’isyah binti Muhamad Yusop akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Wa Qanun di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Majlis turut menyaksikan seorang bekas penerima biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan bagi sesi pengajian 2016/2017 menandatangani perjanjian untuk meninggikan tahap
pengajiannya.

Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah yang mengambil jurusan Sarjana Muda Sains dalam Sains Perubatan Bio di Imperial College London, UK di bawah biasiswa berkenaan telah menamatkan pengajiannya pada tahun lalu.

Di bawah perjanjian baharu, beliau akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana dalam jurusan Clinical Embryology di Green Templeton College, University of Oxford, UK.
Pada majlis itu, para penerima biasiswa menandatangani perjanjian dengan ditemani dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.

Manakala itu, pihak Yayasan diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan bersama Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Haji Puasa bin Haji Jumat de-ngan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.