Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Para penerima pencen perkhidmatan dan pencen turunan dipohon memberikan kerjasama dan digalakkan membuka akaun bank masing-masing untuk menerima pembayaran pencen berkenaan melalui bank.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah membuat seruan berkenaan, hari ini, memandangkan jumlah penerima pencen perkhidmatan dan pencen turunan kepada balu serta tanggungannya yang memilih untuk menerima pencen mereka melalui bank adalah masih sedikit, di mana setakat ini hanya seramai 141 orang. “Ini adalah untuk mengurangkan risiko perkumpulan ramai yang menjadikan tempat berkenaan sesak.
“Di samping itu, sebagai langkah berhati-hati dan usaha Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam membantu Kementerian Kesihatan dari pada merebaknya wabak koronavirus (COVID-19) memandangkan jumlah penerima pencen adalah ramai di mana di Daerah Brunei dan Muara sahaja seramai 2,808 penerima, Daerah Tutong seramai 878 penerima, Daerah Belait seramai 358 penerima dan Daerah Temburong seramai 157 penerima,” tambah beliau semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Berikutan dengan itu juga, Jabatan Perbendaharaan memaklumkan bahawa pembayaran pencen-pencen perkhidmatan dan pencen turunan (balu serta tanggungan) bagi Mac akan dibuat di tempat-tempat yang telah diaturkan.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat di Dewan Perpaduan dan Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Tutong di Dewan Kemasyarakatan, Tutong dan Daerah Temburong di Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Temburong iaitu tempat lazim pembayaran dibuat setiap bulan. Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa pembayaran di tempat-tempat yang dinyatakan berkenaan akan dibuat pada 28 Mac bermula 7:30 pagi sehingga 4 petang.
Manakala itu, pembayaran pada hari berikutnya akan dibuat di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di ketiga-tiga daerah dan Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara selama 10 hari waktu bekerja. Bagi membolehkan pembayaran dibuat melalui bank pada bulan berikutnya (April dan seterusnya), bank-bank akan membuka kaunter pendaftaran pada hari berkenaan di tempat-tempat yang dinyatakan di setiap daerah.
