Penerima vaksin catat peningkatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Seramai 5,022 orang di Negara Brunei Darussalam telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin, 18 Oktober.

“Dengan jumlah tersebut, seramai 344,342 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 75.9 peratus daripada jumlah penduduk negara di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media hari ini.

Manakala itu, katanya seramai 234,921 lagi sudah pun melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 yang bersamaan 51.8 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambahnya.

Sehubungan itu, negara telah mencatatkan sebanyak 579,263 jumlah keseluruhan pemberian vaksin, sejak 3 April 2021.

Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 372,666 suntikan, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 73,567 suntikan.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 67,484 suntikan, dan Daerah Temburong sebanyak 65,546 suntikan.