Penerokaan sektor halal dipergiatkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Sektor halal terus menyediakan ruang dan peluang perkembangan yang amat meluas dalam pelbagai bidang pembuatan dan pemasaran seperti makanan, pelancongan, fesyen, farmaseutikal dan kosmetik.

Sektor itu dijangka akan terus berkembang daripada segi permintaan bagi produk dan perkhidmatan halal di mana menjelang 2030, dijangka kira-kira 30 peratus jumlah penduduk dunia adalah Muslim.

Ghanim ditubuhkan bagi memenuhi permintaan daripada para pengguna yang bertambah itu dan untuk mencapai hasrat itu, ia memerlukan penyelidikan dan penerokaan yang berterusan.

Oleh itu, kerjasama dan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan Sekolah Perdagangan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) merupakan salah satu usaha untuk meneroka kerjasama dalam bidang makanan halal.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim, Dr. Nur Rahman ketika berucap di Majlis Penandatangan MoU di antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan UBDSBE yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Dr Nur Rahman menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Haji Sofian (tengah) menyaksikan penandatangan memorandum persefahaman di antara Dr Nur Rahman (dua dari kiri) dan Profesor Ahmed Masood Khalid (dua dari kanan) di Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman di antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan UBDSBE.
Dr Nur Rahman (kiri) dan Profesor Ahmed Masood Khalid (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian disaksikan oleh Haji Sofian (tengah) di Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman di antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan UBDSBE yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah ahli Lembaga Pengarah Ghanim International Corporation, Haji Sofian bin Mohammad Jani.

Dr. Nur Rahman dalam ucapannya berkata lagi, untuk menjadi sebuah organisasi yang berhasrat untuk menjadi jenama halal global memerlukan usaha dan sumber ilmu pengetahuan di mana Ghanim mempunyai jabatan sumber maklumat pasaran dan pembangunan produk yang memberikan panduan baginya untuk mempunyai keputusan bagi pembuatan, pemasaran dan pengedaran produk-produk Brunei Halal.

Sehubungan dengan itu, beliau melihat UBD dengan kepakaran dalam bidang berkenaan, pelajar serta penyelidikan yang dijalankan merupakan satu kerjasama yang amat dialu-alukan dalam perjalanan Ghanim untuk mencapai matlamatnya.

Beliau yakin menerusi MoU dan kerjasama itu Ghanim International Corporation dan UBD akan membawa Brunei Halal ke persada dunia yang kini terbuka untuk menerimanya.

Sementara itu, Dekan UBDSBE, Profesor Ahmed Masood Khalid dipetik menyatakan bahawa dengan pasaran pengguna Muslim yang besar, ia memberikan peluang bagi negara seperti Brunei untuk mendapatkan manfaat daripada permintaan yang tinggi untuk makanan halal.

Oleh itu, ulasnya lagi, MoU berkenaan merupakan titik permulaan kerjasama di antara kedua-dua institusi berkenaan dan berharap untuk meneroka dan mengenal pasti bidang-bidang bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan Halal Brunei.

Di majlis berkenaan, menandatangani MoU bagi pihak Ghanim ialah Dr. Nur Rahman dan bagi pihak UBDSBE ditandatangani oleh Profesor Ahmed Masood Khalid dengan disaksikan oleh Haji Sofian dan Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Keusahawanan), UBD, Dr. David Koh Soo Quee.

MoU itu menghasilkan sebuah platform bagi kegiatan pemasaran dan penyelidikan bersama serta untuk meneroka inisiatif dan kaedah yang relevan bagi mempromosikan industri halal di Negara Brunei Darussalam.

Matlamat utama kerjasama itu adalah untuk bertukar-tukar maklumat dan idea dalam pemasaran perkhidmatan dan produk halal, menganjurkan forum bersama untuk memahami mengenai keperluan produk, demografi, pasaran dan pembuatan serta untuk meningkatkan kesedaran dan persepsi mengenai perkhidmatan dan produk halal.

Perjanjian itu juga dihasratkan menjadi landasan untuk meneroka kerjasama bagi pemasaran produk bruneihalalfoods antarabangsa menerusi persidangan, simposium dan pakar-pakar undangan dalam bidang pemasaran halal.

Bagi menandakan permulaan kerjasama itu, UBDSBE melalui Kluster Penyelidikan Pemasaran Halal dan Kewangan Islam akan mengadakan sebuah forum antarabangsa mengenai pasaran dan industri halal yang akan diadakan pada 2018.

Forum itu akan mengetengahkan pakar tempatan dan antarabangsa yang akan mengongsi ilmu pengetahuan serta pengalaman mereka dalam pembuatan dan pemasaran makanan halal, pelancongan halal, fesyen Islam, farmaseutikal halal dan kosmetik halal.

Menerusi perjanjian itu juga, kedua-dua belah pihak bersetuju melaksanakan usaha bagi manfaat bersama menerusi program penglibatan pelajar dan kegiatan berasaskan penyelidikan.