BEIJING, 8 FEB – Bintang tenis China, Peng Shuai berkata dia tidak pernah menuduh sesiapa melakukan serangan seksual, dalam satu temu bual yang diterbitkan kelmarin, sekali lagi menolak dakwaan yang mencetuskan apa yang disifatkannya sebagai ‘salah faham besar.’
Bekas beregu nombor satu dunia itu mendakwa dalam catatan media sosial pada November bahawa bekas naib perdana menteri China, Zhang Gaoli memaksanya melakukan hubungan seks semasa hubungan selama bertahun-tahun.
Catatan tersebut dipadamkan dengan pantas dan Peng tidak ditemui selama hampir tiga minggu, menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia tentang keselamatannya. Sejak itu dia telah muncul di beberapa acara awam dan menafikan pernah membuat tuduhan itu.
“Saya tidak pernah mengatakan sesiapa telah menyerang saya secara seksual dalam apa cara sekalipun,” kata Peng dalam akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe pada Ahad lalu, mengulangi komen serupa yang diberikannya kepada sebuah akhbar Singapura pada Disember.
Pemain berusia 36 tahun itu berkata dialah yang memadamkan dakwaannya daripada Weibo, platform media sosial sama seperti Twitter di China.
Disyaki penapis Internet yang ketat di China, sensitif terhadap sebarang kritikan terhadap Parti Komunis yang memerintah, telah mengeluarkannya.
Apabila L’Equipe bertanya mengapa dia memadamkannya, Peng berkata: “Kerana saya mahu.”
“Timbulnya salah faham besar di dunia luar berikutan catatan ini,” katanya semasa temu bual dalam gelembung Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing. – AFP