Peng Soon-Liu Ying tersingkir awal

KUALA LUMPUR, 3 NOV – Cabaran beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Jerman terhenti apabila tewas mengejut kepada beregu Denmark, Mikkel Mikkelsen-Rikke Soby pada pusingan pertama.

Pasangan Denmark yang menduduki ranking ke-43 dunia menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 negara selepas mengharungi 53 minit perlawanan dengan 20-22, 21-15, 16-21.

Bagaimanapun, satu lagi beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan gandingan Belanda, Ruben Jillie-CHeryl Seinen 21-14, 21-15.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking kesembilan dunia bakal berdepan pasangan Denmark, Niclas Nohr-Amalie Magellund di pusingan kedua.

Sementara itu, gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengetepikan pasangan New Zeland, Oliver Leydon-Davis-Anona Pak 21-15, 21-15 untuk menempah pertembungan dengan pilihan utama kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Pemain perseorangan lelaki profesional Malaysia, Liew Daren terpaksa meninggalkan kejohanan lebih awal apabila tersingkir selepas tewas kepada pemain Hong Kong 21-17, 22-20 manakala pemain utama Malaysia, Lee Zii Jia bakal memulakan cabaran berdepan pemain Sepanyol, Pablo Abian hari ini. – Bernama