Pengadil maut di altitud tinggi

LA PAZ, 22 Mei – Kematian pengadil Bolivia yang mengendalikan perlawanan pembukaan pada paras lebih 4,000 meter telah membuka semula perdebatan mengenai keselamatan bola sepak pada ketinggian sebegitu.

Victor Hugo Hurtado tumbang ketika mengadili perlawanan divisyen pertama Bolivia di El Alto, pada ketinggian 4,090 meter antara pasukan tempatan Always Ready dan Oriente Petrolero.

Dia menderita pendarahan jantung dan diusung keluar dari padang sebelum dibawa ke hospital, di mana dia meninggal dunia berikutan serangan jantung kedua. Dia hanya berusia 32 tahun.

Stadium perbandaran El Alto adalah yang tertinggi di dunia merupakan rumah kepada pasukan bola sepak profesional, menurut sepanduk yang dipaparkan di luar stadium.

Stadium itu 400 meter lebih tinggi daripada stadium El Hernando Siles (3,660 meter) di La Paz yang digunakan oleh pasukan kebangsaan Bolivia. Doktor kelab Erick Koziner menegaskan ketinggian tidak memainkan peranan dalam kematian Hurtado. – AFP

Hurtado diusung keluar dari padang selepas tumbang ketika mengadili perlawanan Always Ready dan Oriente Petrolero di Stadium Perbandaran El Alto, Ahad lalu. – AFP