Pengadil tempatan adili perlawanan AFC 2020

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Pengadil tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, Abdul Hakim bin Mohd Haidi telah dilantik oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mengadili perlawanan berprofil tinggi pada pusingan pertama playoff Piala AFC 2020 di Stadium Olimpik Phnom Penh di Kemboja pada 22 Januari ini.

Abdul Hakim akan ditugaskan sebagai pegawai rasmi keempat dalam perlawanan pertama antara Svay Rieng FC dari Kemboja dan Master 7 dari Laos.

Beliau juga, yang tersenarai sebagai salah seorang pegawai perlawanan antarabangsa, telah mula aktif dalam menjalankan tugasnya di luar negara sejak 2018 yang kebanyakannya tertumpu kepada perlawanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di rantau ini.

Tugasan pertamanya selepas mendapat pengiktirafan sebagai pengadil FIFA adalah semasa Kejohanan Belia Bawah 16 AFF pada Julai 2018.

Bagaimanapun, tugasan sebenarnya sejak dilantik pengiktirafan antarabangsa adalah semasa Kejohanan AFF November pada tahun berkenaan apabila dia ditugaskan sebagai pegawai rasmi keempat dalam perlawanan antara Laos dan Myanmar.

Beliau juga turut dilantik sebagai pengadil perlawanan dalam Kejohanan AFF Bawah 23 Ferbuari tahun lepas dan Kejohanan Belia Bawah 16 AFF tahun lalu.

Perlawanan antara Svay Rieng dan Master 7 ialah salah satu daripada pertemuan playoff AFC yang akan dijadualkan termasuk dua perlawanan lainnya dalam zon ASEAN.

Abdul Hakim telah dilantik oleh AFC untuk mengadili perlawanan pada pusingan pertama playoff Piala AFC 2020 di Stadium Olimpik Phnom Penh di Kemboja pada 22 Januari ini.