Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengadil terkemuka digantung tanpa gaji

    TORONTO, 19 Sept – Pengadil perlawanan dari Sweden yang memberi kata rangsangan kepada pemain Australia, Nick Kyrgios ketika aksi Terbuka Amerika Syarikat tahun ini digantung tanpa sebarang gaji selama dua minggu, kata Jelajah ATP.

    Mohamed Lahyani turun daripada kerusi pengadil untuk memberikan kata rangsangan kepada Kyrgios, yang ketika itu berada di gelanggang bertemu pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert untuk aksi pusingan kedua di New York, tiga minggu lalu.

    Pengadil itu memberikan isyarat dan memberitahu Kyrgios, seorang pemain yang didenda ATP sebelum ini kerana kurang menunjukkan daya saing dengan memberitahunya ‘saya mahu membantu kamu’ dan ‘saya sudah melihat perlawanan kamu: kamu seorang yang hebat dalam tenis… saya tahu ini bukan kamu.’

    Tahap permainan Kyrgios meningkat mendadak selepas insiden berkenaan dan meraih kemenangan dalam empat set permainan.

    Seorang pegawai dalaman ATP memutuskan tindakan Lahyani itu sudah menjejaskan kriteria sebagai pegawai perlawanan.

    Gambar fail pada 31 Ogos 2018 menunjukkan Mohamed Lahyani ketika menyaksikan perlawanan beregu pada perlawanan Terbuka AS 2018 di New York. – AFP

    “Mohamed adalah seorang pegawai bertaraf dunia dan amat dihormati. Namun, tindakannya ketika perlawanan melangkaui batasan sebagai seorang pengadil,” kata Naib Presiden Eksekutif Peraturan dan Pertandingan ATP, Gayle David Bradshaw dalam satu kenyataan.

    “Meskipun berniat baik, tindakannya amat dikesali dan tidak boleh berlaku tanpa tindakan disiplin di Jelajah kami sendiri. Kami tahu yang dia akan belajar daripada pengalaman ini dan kami menantikan kemunculannya semula pada Oktober.”

    Lahyani, yang dijadual memikul tugasan di Terbuka China dan Shanghai Masters, dijadual kembali berada di kerusi pengadil di Terbuka Stockholm, 15 hingga 21 Oktober ini.

    Biarpun insiden itu berlaku pada kejohanan yang berada di bawah pengurusan Persatuan Tenis Amerika Syarikat, namun ia masih boleh dikenakan tindakan disiplin ATP kerana Lahyani adalah pengadil tetap ATP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda