Pengagihan baju larian, bib dilanjut dua hari

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, memaklumkan bahawa pengagihan baju larian dan nombor bib bagi Larian Hari Kebangsaan 2020 adalah dilanjutkan selama dua hari iaitu pada 11 Jun dan 13 Jun bermula dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan dari pukul 2 petang hingga 3:30 petang.

Menurut kenyataan itu, pengagihan baju larian dan nombor bib diadakan secara pandu lalu iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; bagi Daerah Belait di Kompleks Sukan Mumong; dan bagi Daerah Temburong di Kompleks Sukan Temburong.

Manakala itu, pengambilan melalui kaunter dilaksanakan di Daerah Tutong di Kompleks Sukan Tutong.

Kenyataan menyatakan bahawa para peserta larian adalah dimestikan membawa salinan resit pembayaran semasa pengambilan baju dan nombor bib berkenaan.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga memohon kerjasama penerima-penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh jawatankuasa larian yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pengambilan baju dan nombor serta semasa menunggu giliran masing-masing dan seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.