Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pengajaran dan pendidikan teradun diutamakan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Kementerian Pendidikan terus melaksanakan usaha-usaha dalam memastikan kesejahte-raan dan keselamatan pelajar, warga sekolah dan kementerian adalah terjaga dan diberikan keutamaan dengan melaksanakan Pelan Kelangsungan Perniagaan (BCP) yang bersesuaian berdasarkan keadaan semasa.

    Untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan semasa penutupan sekolah, pendekatan pembelajaran dan pengajaran di rumah iaitu Home Based Learning (HBL), secara dalam talian melalui pelbagai landasan telah dilaksanakan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Muzakarah antara Kementerian Pendidikan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, kelmarin.

    Seramai 12 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit menghadiri sesi muzakarah berkenaan. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua pengarah pendidikan, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kementeriannya mengambil maklum mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak semasa pelaksanaan pendekatan tersebut termasuk kemahiran dan kompetensi serta kekurangan sumber seperti alat peranti dan data Internet terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

    Ahli-ahli MMN yang menghadiri sesi muzakarah tersebut.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menerangkan mengenai inisiatif kementerian kepada ahli-ahli MMN.

    Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan juga mengambil maklum mengenai cabaran pengajaran secara dalam talian bagi tenaga pengajar dari segi penggunaan data Internet dan kemahiran menggunakan aplikasi pengajaran yang bersesuaian.

    Beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan salah satu daripadanya ialah usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menyediakan peranti dan data Internet kepada mereka yang memerlukan.

    Usaha itu, jelas Yang Berhormat Dato, adalah selaras dengan objektif-objektif strategik kementerian untuk meningkatkan kerjasama dan sokongan padu pelbagai pihak berkepentingan dan juga untuk menyediakan akses saksama kepada pendidikan yang berkualiti.

    Dalam mendukung usaha guru untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian dengan efektif, Kementerian Pendidikan secara berterusan memberikan pembangunan profesional kepada guru-guru yang memerlukan melalui Akademi Pemimpin dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA) di mana pelbagai program telah disediakan oleh akademi itu secara dalam talian mengikut keperluan guru.

    Dalam hubungan itu, Yang berhormat Dato turut mengongsi bahawa dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, guru-guru telah diberikan elaun tambahan sebanyak $20 setiap bulan bagi kegunaan pembelian data Internet untuk pengajaran.

    Sementara itu, pelajar-pelajar dari keluarga yang tidak berkemampuan juga diberikan data Internet sebanyak 10GB setiap bulan. Di samping pembelajaran dan pengajaran dalam talian, program-program pendidikan juga disiarkan di televisyen dengan kerjasama pihak Radio Televisyen Brunei (RTB) bagi pelbagai peringkat pendidikan.

    Pihak sekolah juga turut menyediakan Home Learning Pack (HLP) yang diagih-agihkan kepada ibu bapa dan penjaga yang memerlukan.

    Sejurus itu, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga menyampaikan ucapan balas semasa permuzakarahan berkenaan.

    Permuzakarahan seterusnya diikuti dengan sesi dialog di antara ahli-ahli MMN dan pihak Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...