Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Untuk menggalakkan kegiatan penulisan artikel dan jurnal dalam kalangan staf akademik Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Fakulti Syariah dan Pusat Pengajian Lepasan Ijazah dan Penyelidikan (PPLIP) hari ini telah mengungkayahkan Bengkel Penulisan Artikel dan Jurnal.
Bengkel yang disertai oleh 49 orang pensyarah KUPU SB itu berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB dan telah dirasmikan oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat majlis berkenaan.
Sepanjang bengkel berkenaan, tiga tajuk menjadi fokus iaitu kaedah penulisan artikel yang berimpak tinggi, Garis Pandu Mengakses Jurnal-Jurnal Pengajian dan Pendidikan Islam serta Panduan Penyelidikan Lapangan dan Cabaran.
Menurut pengerusi bengkel, Dr Haji Abdul Rauf bin Muhd Amin dalam ucapan alu-aluannya, bengkel ini merupakan satu komitmen dan azam Fakulti Syariah dan PPLIP khasnya dan KUPU SB amnya untuk sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti dan kompetensi staf-staf akademik dalam melaksanakan tiga fungsi utama pengajian tinggi iaitu pengajaran/pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat.
Tiga fungsi yang diberikan ini jelas menunjukkan aspek penyelidikan merupakan isu yang paling mencabar bagi kecemerlangan sesebuah pengajian tinggi sejajar dengan perkembangan dunia akademik yang semakin hari semakin mencabar, ujar beliau. “Kekuatan penyelidikan dalam sebuah pengajian tinggi sudah pasti akan meningkatkan kualiti pendidikan dan pengajaran staf akademik bahkan juga memperbaiki peringkat khidmat masyarakat,” tambah beliau semasa majlis tersebut.
Menurut beliau lagi, perkembangan terkini dalam dunia pendidikan menghendaki pensyarah atau staf akademik diwajibkan melaksanakan pengajaran berdasarkan penyelidikan.
Beliau berkata, perkara penting yang berkaitan dengan penyelidikan ialah melaporkan hasil penyelidikan itu sendiri, kemudian menulis dan seterusnya menerbitkan hasil penyelidikan tersebut. Maka, pengajian tinggi perlu sentiasa aktif dan sentiasa peka khususnya dalam menghadapi cabaran yang berkaitan dengan penulisan ini, iaitu mengawal pelaksanaan penyelidikan, membuat laporan mengenai hasil penyelidikan dan menerbitkan hasil penyelidikan.
Dengan adanya bengkel ini, ia dihasrat untuk dapat membantu staf akademik dalam memenuhi keperluan Key Performance Indicator (KPI) sebagai sebuah keperluan asas akademik dan meningkatkan status KUPU SB menjadi universiti yang dikenali pada peringkat antarabangsa melalui artikel-artikel yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal yang bertaraf kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Pembengkel adalah terdiri daripada Profesor Madya Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr Noor Shah bin Haji Saad; Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr Zahiri bin Haji Awang Mat, dan Pengarah Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB, Dr Haji Harapandi Amaq Hairani.