Pengakap OKU bakal cipta rekod berkayak

IPOH, 22 OKT – Seorang Orang Kurang Upaya (OKU) bakal mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) melalui Misi Survival Kayak Solo OKU apabila merentasi Sungai Perak sejauh 360 kilometer (km) yang dijadual bermula pada 6 hingga 13 Nov depan.

Mohd Syukor Shahuji, 29, yang mempunyai masalah lembam dan kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas akan melakukan ekspedisi dayungan kayak bermula dari Jeti Tasik Banding, Gerik sebelum  berakhir di Beting Beras Basah, Bagan Datuk.

Mohd Syukor yang berasal dari Hulu Selangor, Selangor merupakan ahli pengakap negeri Perak dan mula aktif berkayak sejak lapan tahun lepas dengan menyertai ekspedisi anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri.

Beliau berkata faktor cuaca dan air pasang merupakan antara cabaran utama yang bakal dihadapinya memandangkan dayungan secara solo itu tidak membabitkan mana-mana bantuan daripada anggota kru. – Bernama