Pengakap perempuan PPNBD agih 25 pek sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sebanyak 25 pek sumbangan telah diedarkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di Daerah Belait baru-baru ini di bawah fasa keempat Projek Jalinan Kasih kendalian Bahagian Pengakap Perempuan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, sumbangan berkenaan telah diterima oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat PPNBD Bahagian Pengakap Perempuan, Hajah Nor Rahmat binti Haji Sidin selaku penyelaras projek menerima sumbangan-sumbangan dari syarikat-syarikat untuk pengagihan ke Daerah Belait.

Kenyataan menjelaskan, projek berkenaan adalah kegiatan tahunan Bahagian Pengakap Perempuan PPNBD sejak lima tahun lalu, yang mana lazimnya projek hanya memfokuskan kepada sumbangan bagi bulan Ramadan tetapi mulai 2019, projek tersebut dijadikan projek sepanjang tahun memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada penyumbang terdiri daripada kalangan ahli pengakap dan orang awam.

Sumbangan yang diterima terdiri daripada barangan asasi seperti beras, tepung, minyak masak dan makanan dalam tin yang dibahagikan dalam pek-pek sumbangan.

Bagi tahun ini, fasa pertama projek menyaksikan sumbangan disalurkan ke Daerah Temburong pada Januari dan Daerah Belait pada Februari semasa lawatan ke daerah-daerah tersebut.

Manakala itu, bagi fasa ketiga, sebanyak 41 buah keluarga dari keempat-empat daerah telah menerima pek-pek sumbangan tersebut pada 17 April lalu.

Para penerima terdiri daripada golongan anak-anak yatim, mualaf dan keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya yang terkesan akibat wabak COVID 19 di mana ada yang telah hilang atau kurang punca pendapatan.

Sehubungan itu, Bahagian Pengakap Perempuan PPNBD merakamkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang terdiri daripada orang awam dan syarikat-syarikat serta berharap agar kerjasama yang terjalin akan berpanjangan bagi kesinambungan Projek Jalinan
Kasih.

Ahli pengakap perempuan PPNBD ketika menyerahkan pek sumbangan kepada salah seorang penerima. – Gambar seraha PPNBD