‘Pengalaman ambuyat’ di MFK

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Hidangan tradisional Brunei, ambuyat merupakan salah satu makanan yang amat digemari dalam kalangan masyarakat tempatan serta menjadi hidangan yang dicari-cari oleh pengunjung yang berkunjung ke Brunei.

Bersempena dengan Minggu Gastronomi Brunei 2020 yang bermula 23 Februari hingga 8 Mac, My Favoureat Kopitiam (MFK) meraikan masakan dan makanan masyarakat Brunei dengan memperkenalkan ‘Pengalaman Ambuyat’ bagi pelanggan-pelanggannya.

Sehubungan dengan itu, majlis pelancaran ‘Pengalaman Ambuyat’ telah diadakan di MFK, Berakas, kelmarin.

Majlis dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; Timbalan Setiausaha (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah serta jemputan khas.

‘Pengalaman Ambuyat’ bukan sahaja memberikan pengalaman kepada para pengunjung untuk menikmati hidangan ambuyat tetapi juga memberikan pengalaman unik audio dan visual serta menjanjikan satu pengalaman yang baharu bagi para pengunjung.

Pengiran Haji Mohd Hasnan, Awang Wardi dan Dr Siti Norkhalbi bergambar ramai pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Lyna Muhamad

Menurut Penyelia Restoran MFK, Hafizah Duraman, pihak restoran mengetahui bahawa sebilangan besar pengunjung ingin menikmati hidangan ambuyat dalam suasana yang selesa dengan alunan muzik yang nyaman serta perkhidmatan terbaik.

Oleh itu, tercetus inspirasi dan cabaran kepada MFK untuk menyediakan pengalaman transformasi hidangan tradisional Brunei, ambuyat supaya dapat memberikan pengalaman gastronomi abad ke-21 yang unik serta
menarik.

Dengan keunikan yang ditonjolkan oleh cef-cef kreatif restoran itu, jelas Hafizah lagi, ia dapat menjana pengalaman menikmati hidangan yang unik serta memberikan kepuasan kepada para penggemar hidangan ambuyat serta pelancong-pelancong yang ingin mencuba hidangan masyarakat Brunei itu.

Acara yang diadakan di MFK itu merupakan sebahagian daripada aktiviti semasa Acara Festival Hari Kebangsaan ke-36 yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang diadakan bermula dari 22 hingga 24 Februari.

Pada majlis berkenaan, Pengiran Haji Mohd Hasnan serta jemputan berpeluang untuk mengunjungi gerai jualan dan menyaksikan peringkat akhir Pertandingan Lagu Patriotik dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan nyanyian serta pertandingan fotografi.

Dalam pertandingan lagu patriotik berkenaan, lagu ‘Anak Peribumi’ muncul sebagai juara dan diikuti oleh lagu ‘Permata Permai’ di tempat kedua dan ‘Astaka Darussalam’ di tempat ketiga.

Manakala itu, dalam pertandingan fotografi yang diadakan, juara disandang oleh Ari Kustiawan diikuti oleh
Pengiran Haji Sulaiman bin Pengiran Haji Salleh di tempat kedua dan Dayang Amalina binti Abdul Khalid di tempat ketiga.

Festival Hari Kebangsaan ke-36 @ Sparks Co Flea Market merupakan acara kerjasama antara KKBS dan Sparks Co Sdn Bhd untuk memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang mendapat sambutan serta sokongan daripada orang ramai dalam sama-sama menyemarakkan sambutan
berkenaan.

Acara itu mengetengahkan pelbagai aktiviti yang menarik termasuk Pengalaman Ambuyat, permainan tradisional congkak dan Simban Batu, pameran fotografi, pertandingan lagu patriotik serta gerai jualan daripada pengusaha-pengusaha tempatan.