Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Musim keenam Program ‘Football for Friendship’ (F4F) yang bermula pada 8 Jun, kendalian Gazprom selaku rakan rasmi FIFA dan Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow telah berakhir baru-baru ini.
Awang Mohd Danish Ataullah bin Mohd Riduwan telah terpilih sebagai penjaga gawang bagi sebahagian daripada 32 pasukan antarabangsa yang turut bersaing dalam Kejohanan F4F Antarabangsa Gazprom. Dia turut menjalani kem latihan di Moscow bersama pasukannya Whale Shark.
Menurut Awang Mohd Danish Ataullah, dia berpuas hati dengan peluang yang diberikan kepada mereka untuk meningkatkan pengalaman di dalam bidang bola sepak.
Selain menyaksikan pembukaan rasmi Piala Dunia Rusia di Moscow, dia bersama Awang Muhamed Danish Izz Syahmi bin Mohd Bahrin turut mengikuti beberapa aktiviti dan latihan yang disediakan bersama rakan-rakan luar negara.
Dia menambah bahawa banyak perkara yang perlu diubah untuk menjadi pemain yang berprestij antaranya disiplin, latihan yang lebih intensif termasuk dari segi hantaran, kawalan bola dan yang paling penting cara menangkap bola secara teratur.


“Latihan kami mengambil masa tiga hingga lima jam, walaupun ianya letih tetapi bagi saya ianya berbaloi kerana dapat meningkatkan latihan disiplin diri,” kata Awang Mohd Danish Ataullah.
Sementara itu Awang Muhamed Danish Izz Syahmi berperanan sebagai wartawan muda dan melaporkan semua kegiatan tempatan dan global Program F4F sebagai sebahagian daripada Pusat Media Kanak-kanak Antarabangsa.
Semasa menjalani program itu, dia belajar dan mengikut bengkel-bengkel cara penulisan sehinggakan mendapat pengalaman bermakna bagaimana menjadi seorang wartawan bola sepak.
Program F4F diakhiri dengan Forum Kanak-kanak Antarabangsa baru-baru ini, yang mana kanak-kanak berkongsi pengalaman mereka dan mengadakan perbincangan sesama mereka termasuk bersama pemain bola sepak terkenal dan para wartawan.
Pada forum itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Gazprom, Victor Zubkov berkata, delegasi dari 211 negara berkumpul bagi menyertai acara tersebut.
Sejak lima tahun lalu, lebih 4000 kanak-kanak mengambil bahagian dan jumlah keseluruhan penyokong Program F4F kini mencapai 3 juta orang.

































