Pengalaman digital Porsche Taycan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – QAF Eurokars Sdn Bhd, pengedar tunggal kenderaan Porsche di negara ini, hari ini memberikan pengalaman peribadi secara digital kepada pengamal media di Pusat Porsche Brunei, Perindustrian Beribi bagi kenderaan elektrik (EV)
yang bakal dilancarkannya, Porsche Taycan.

Pengamal media merasakan sendiri pengalaman Taycan Virtual Reality (VR) melalui realiti maya yang membolehkan penggunanya menyaksikan lebih dekat Taycan terbaharu itu, bahkan mengalami sendiri kerja-kerja pemasangan badannya menggunakan kaca mata VR.

Iterasi digital model Taycan hampir sama dengan kenderaan sebenar dan pengamal media yang melalui pengalaman VR itu dapat menelusuri reka bentuk model baharu, merasakan sendiri kemewahan gaya Porsche.

Taycan yang lebih aerodinamik disimulasikan dengan aliran udara bertindan yang juga dapat dikendalikan oleh pengguna VR.

Acara pengalaman VR itu adalah bagi menerokai kereta tersebut secara lebih mendalam, sama ada secara luaran dan dalaman, agar pengguna dan pelanggan berpotensi menyaksikan sendiri warna apa yang sesuai pada kenderaan tersebut untuk mereka.

Selain itu, mereka juga boleh merasakan sendiri ciri aerodinamik Taycan dengan meletakkan dan mengawal aliran udara maya di luar.

Pusat Porsche Brunei tidak mengabaikan nasihat kesihatan ketika pandemik apabila mengutamakan perlindungan kebersihan dan menggantikan kaca mata VR setiap kali selepas penggunaannya.

Salah seorang pengamal media berpeluang mencuba proses pemasangan kenderaan elektrik Porsche berkenaan menerusi kaca mata VR.