Pengalaman empat tahun yang indah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Sejak berada di Brunei Darussalam pada 2016, pelbagai pengalaman yang menakjubkan telah diperolehi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum.

“Saya pernah menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Australia pada 2018 untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, mengalu-alukan menteri luar negeri ke Brunei pada awal 2020, pernah bertanding dalam dua regata sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menganjurkan tiga Festival Rasa Australia, menyokong banyak lawatan pelajar Australia ke Brunei, dan melahirkan anak damit pada pertengahan 2018.”

Puan Yang Terutama mengongsikan pengalamannya semasa ditemu bual media di Suruhanjaya Tinggi Australia, di ibu negara, baru-baru ini, berikutan tamat tempoh perkhidmatannya.

Puan Yang Terutama mengongsikan bahawa beliau dan keluarganya mempunyai masa yang indah selama empat tahun di negara ini di mana beliau berpendapat Brunei adalah kediaman keluarganya dan sukar bagi keluarganya untuk membayangkan bagaimana kehidupan selepas Brunei.

“Kami akan merindui rakyat dan kemesraan masyarakat di negara ini. Rakyatnya sangat terbuka, mesra dan ramah, dan itu adalah sesuatu yang anda tidak dapati di mana-mana dan kami menghargainya.

Gambar fail PYT Nicola Rosenblum ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang utama bagi cabaran ‘Taste of Australia in Brunei’ pada 2018. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Hari Raya, merupakan tradisi yang luar biasa, kami disambut oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan dan dipelawa ke istana Baginda Sultan.

“Hakikatnya, anda disambut di rumah orang dan mereka berkongsi makanan dengan anda, ia merupakan tradisi yang begitu indah, sekali lagi terbuka dan mesra sehingga tidak ada tandingannya dengan tempat lain,” ujarnya.

Perkara lain yang disukai beliau adalah hutan Brunei di mana Puan Yang Terutama dan keluarganya pergi ke hutan sekurang-kurangnya sekali setiap hujung minggu, untuk melakukan pendakian di tasik atau bukit dan tempat-tempat lain yang lebih kecil dan pada hujung minggu mereka juga mengambil kesempatan untuk pergi Temburong.

“Jelas sekali, saya menyaksikan jambatan itu berkembang selama empat tahun berada di sini dan saya benar-benar tidak sabar untuk melalui jambatan itu. Kami dulu tinggal di Kota Batu jadi saya melihat perkembangan jambatan ketika dibina setiap hari. Saya berasa senang kerana dapat mendaki di Temburong kerana hutannya sangat berbeza di sana,” kongsi Puan Yang Terutama.

Sebelum ini, beliau pernah ke Temburong menaiki perahu dan menelusuri sungai hingga menaiki Canopy Walk dan ke pusat kajian luar Universiti Brunei Darussalam.

“Saya pergi ke sana ketika kami mempunyai beberapa pelajar Australia yang mengadakan kajian alam sekitar. Akan tetapi membawa anak-anak ke sana, kehadiran jambatan menjadikannya jauh lebih mudah diakses.

“Hutan di sana rasanya sangat berbeza, rasanya lebih tua, bersih dan lebih sejuk serta sangat indah selain dapat membawa anak-anak melihat sesuatu yang berbeza,” kongsinya.

Ditanya jika sekiranya beliau akan rindu untuk kembali ke Brunei, Puan Yang Terutama berpendapat bahawa sudah setentunya beliau suka untuk kembali melawat Brunei.

“Keadaan perjalanan akan menjadikannya mencabar, tetapi seperti yang saya katakan, kehidupan di sini, ini adalah rumah kami.

“Anak-anak pasti akan sedih jika kami tidak kembali ke sini untuk berjumpa semua orang. Kami akan merindui semua orang, semua hubungan indah yang dijalin di sini,” kongsinya.

Perkara yang paling pen-ting beliau tekankan untuk disampaikan kepada orang ramai adalah untuk sentiasa dalam keadaan selamat.

“Kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan bagi mana-mana daripada kita dan kami benar-benar berharap agar Brunei dapat mencari jalan melalui masa yang sukar ini dan rakyat Brunei terus kekal memiliki kemesraan dan keterbukaan yang terukir dalam diri mereka dan berharap ia tidak terjejas oleh peristiwa yang terjadi di seluruh dunia,” beliau melahirkan
harapannya.