Pengalaman mencabar sepanjang pengasingan diri

Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Sheikh Muhammad Syazwan bin Sheikh Redzuan, mahasiswa Tahun 2 dalam jurusan Kejuruteraan Petroleum di Universiti UCSI Kuala Lumpur adalah salah seorang daripada mereka yang telah menamatkan tempoh pengasingan diri di Hotel Parkview, baru-baru ini.

Mahasiswa berusia 22 tahun itu berkata, sementara pengalaman sepanjang pengasingan selama 14 hari berkenaan pada amnya baik, beliau mengakui bagaimana mencabarnya untuk menduduki peperiksaan dalam talian apabila sambungan Internet tidak stabil.

Bagaimanapun, tambahnya, cabaran berkenaan telah mengajarnya untuk bersabar.

Beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada kakitangan di Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur, kru Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, kakitangan Hotel Parkview, petugas barisan depan perubatan dan sukarelawan atas usaha mereka untuk membendung penularan di Brunei.

Sementara itu, Dayang Zunnuraina Raihana binti Mohamad Ramlee, pelajar Tahun 1 di UPM, Selangor, memutuskan untuk pulang ke Brunei sebaik universitinya mengumumkan bahawa semua kelas bagi semester ini akan dijalankan dalam talian.

Antara pelajar yang telah menamatkan tempoh pengasingan diri diperiksa oleh kakitangan perubatan sebelum keluar meninggalkan hotel.
Mas Farhah’Aliah binti Haji Mohamad
Salah seorang pelajar ketika mendaftar keluar setelah menamatkan tempoh pengasingan diri sambil diperiksa oleh kakitangan perubatan.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan dan krisis COVID-19 yang semakin teruk di Malaysia.

Katanya lagi, beliau tidak berdepan masalah dalam menjalani tempoh pengasingan selama dua minggu kerana pihak hotel menyediakan tiga makanan sehari serta membenarkan keluarganya dan rakan-rakan menghantar makanan dan keperluan lain kepadanya.

“Pada awalnya, ia kelihatan agak menakutkan untuk bersendirian selama 14 hari, selepas menjalani mandat duduk di rumah di Malaysia.

“Bagaimanapun, kami tahu bagaimana pentingnya untuk mencegah COVID-19 daripada menular kepada masyarakat, sekiranya kami, tanpa disedari membawa koronavirus,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun tidak dapat bertemu dengan orang lain, mereka mempunyai cara untuk berhubungan dalam talian, jadi mereka tidak bersendirian sepenuhnya.

Mengulas mengenai kepulangannya, Dayang Zunnuraina Raihana berkata, beliau tidak berdepan masalah dalam menaiki pesawat kerana seperti pelajar lain, beliau diberikan surat rasmi daripada Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, mereka segera diasingkan kepada kumpulan berlainan, diuruskan oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan semua pihak yang terlibat membawa balik pelajar-pelajar Brunei semasa pandemik global ini dan menjaga kami sementara melindungi negara,” ujarnya.

Sebalik keletihan daripada perjalanan, beliau percaya bahawa perjalanan mereka tidak akan berjalan lancar tanpa usaha keras pihak berkuasa.

Awang Muhammad Zaimirul bin Haji Zaini, yang akan memasuki Tahun 3 jurusan Pengurusan Pelancongan di Universiti Asia Pasific, Bukit Jalil, juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha-usaha pembendungan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Brunei kerana menyediakan kami tempat penginapan dan sukarelawan serta petugas barisan depan bagi menjaga kami (pelajar),” ujarnya.

Dengan pengasingan diri di Hotel StarLodge, Awang Muhammad Zaimirul berkata, beliau menghabiskan masa dua minggu itu dengan bermain permainan video, menonton TV dan membaca.

Sementara itu, bagi Dayang Mas Farhah binti Haji Mohammad, yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam Fisioterapi di Malaysia, beberapa hari pertama pengasingan adalah mencabar tetapi beliau dapat mengatasinya dan dapat menumpukan kepada kelas-kelas dalam talian sementara mengekalkan kecergasan fizikal.

Pelajar berusia 21 tahun itu juga menyuarakan penghargaannya kepada kerajaan, terutamanya semua petugas barisan depan kerana memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.”

Awang Muaz bin Ibrahim, pelajar berusia 22 tahun di India, berkata bahawa beliau seronok dengan tempoh pengasingannya.

Katanya, beliau melihat manfaat dalam peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan semasa pengasingan diri selama dua minggu di Hotel Parkview, beliau berpeluang mengasah kemahirannya dalam pengurusan masa, mengekalkan kecergasannya dan mengawal pemakanannya.

Beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada Kementerian Kesihatan kerana menyediakan pelajar-pelajar dengan kemudahan bagi pengasingan serta Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, pegawai-pegawai kerajaan India dan Malaysia serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia atas usaha bersama mereka dalam memastikan pelajar-pelajar Brunei yang terkandas dapat pulang dengan selamat.