POKHARA, Nepal, 27 April – Seramai 62 pengamal media, anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat memulakan ekspedisi ke Kem Pangkalan Annapurna, Nepal hari ini.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 31 pengamal media serta 21 anggota dan pegawai bomba serta wakil dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang memulakan pendakian di Siwai pada 11 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia).
Ekspedisi itu bakal melakar sejarah memahat nama dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ekspedisi terbesar ke kem setinggi 4,130 meter itu.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili Nur Firdaus Abdul Rahim, Linda Khoo, Noor Shamsiah Mohamad dan Mohamad Hafiz Abas (pemberita sambilan).
Pendakian yang dijangka mengambil masa tujuh hari itu akan mengharungi jalan berliku dan perubahan cuaca.

Ketua Ekspedisi Cabaran Annapurna 2017 Fazli Ahmad yakin para peserta telah bersedia setelah menjalani pelbagai latihan termasuk mendaki Gunung Ledang (Johor), Bukit Kutu (Kuala Kubu Bharu, Selangor) dan Gunung Irau (Pahang).
“Berdasarkan ramalan cuaca semasa, pendaki dijangka tidak berdepan dengan masalah cuaca yang ekstrem.
“Ini akan memudahkan pergerakan para pendaki untuk bergerak. Pendakian ini dijangka mengambil masa enam hari sahaja,” katanya.
Sebelum itu, kumpulan tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada 24 April lalu dan mengharungi perjalanan melebihi lapan jam sebelum tiba di sini dari Kathmandu semalam bagi menyesuaikan keadaan cuaca di sini.
Sebelum ini, Media Pahang beberapa kali menganjurkan ekspedisi mendaki gunung keluar negara bermula pada 2014 dengan misi pendakian ke Fansipan, Vietnam; Talang, Kerinchi dan Merapi Indonesia (2015); Pulaq, Filipina (2016).
Penyertaan kali ini adalah yang terbesar direkodkan dan ekspedisi itu merupakan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – Bernama