Pengamalan konsep tiada sisa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Dengan mengamalkan konsep zero waste atau tiada sisa, lahir inspirasi untuk menghasilkan baja organik dengan unsur-unsur nutrisi dan bakteria aktif penyubur tanaman serta sebagai alternatif kepada baja kimia yang mesra alam.

Pengasas produk-produk organik kultur AXA500 dari IMBRU Essential Oil Enterprise, Dr. Haji Hamzah bin Haji Abdul Rahman berkata, permulaan inspirasi bagi menghasilkan produk-produk baja organik tercetus apabila menerusi perusahaan menghasilkan produk minyak kelapa dara, bahan sisa kelapa yang digunakan didapati mempunyai potensi untuk diproses menjadi bahan baja atau kompos organik.

Katanya, dalam penghasilan baja organik itu, ia mengambil masa dan beberapa ujian untuk mendapatkan komposisi baja yang sesuai bagi menghasilkan kesan yang diharapkan khususnya bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.

Dengan penghasilan baja organik itu, matlamatnya adalah untuk memberikan tunjuk ajar kepada para peladang tempatan mengenai kaedah penanaman yang betul serta penggunaan bahan baja organik yang lebih mesra alam tetapi pada masa yang sama, mampu untuk memberikan hasil tanaman yang memuaskan.

Dr Haji Hamzah memberikan penerangan mengenai inspirasi untuk menghasilkan dan kegunaan baja organik AXA 500.
Dr Haji Hamzah memberikan penerangan mengenai inspirasi untuk menghasilkan dan kegunaan baja organik AXA 500.
Di antara yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.
Di antara yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Taklimat Produk Organikultur Dr Amzah AXA 500 yang berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urus niaga Hortikultur Rimba, Gadong, kelmarin.

Taklimat itu dihadiri oleh para peladang, pelajar-pelajar dari IBTE Kampus Agro-Teknologi serta para jemputan khas untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pendapat serta berkongsi pandangan mengenai industri pertanian dan perkembangan dalam teknologi pertanian termasuk penghasilan baja atau kompos organic.

Semasa taklimat tersebut, Dr. Haji Hamzah turut mengongsi mengenai pelbagai kursus yang dijalankan dengan harapan untuk membantu dalam pembangunan industri pertanian negara dengan menggunakan kaedah-kaedah serta amalan pertanian yang baik dan mesra alam.