KUALA LUMPUR, 17 Sept – edotco Group Sdn Bhd, anak syarikat Axiata Group Bhd, hari ini mengumumkan ia tidak akan meneruskan pengambilalihan 13,000 menara telekomunikasi daripada Pakistan Mobile Communications Limited (PMCL) di Pakistan.
Urus niaga itu tertakluk kepada beberapa syarat dan ditamatkan kerana tidak memenuhi syarat-syarat terdahulu untuk perjanjian jual beli (SPA) dalam jangka masa yang ditetapkan, khususnya kelulusan pengawalseliaan bagi perubahan kawalan yang dijangka di bawah SPA, menurut Axiata dalam kenyataan hari ini. edotco terus komited dengan Pakistan dan akan terus mengembangkan perniagaan sedia adanya di bawah edotco Pakistan, terdiri daripada menara yang diambil alih oleh Tanzanite Towers pada awal tahun ini.
“Kami tidak melihat ini akan memberi kesan kepada aspirasi dan matlamat perniagaan kami. Kami yakin dengan potensi pasaran yang semakin meningkat di Pakistan dan komited terhadap operasi sedia ada di sana.
“Kami terus mengembangkan peluang kami ke Pakistan dan pasaran lain di Asia Selatan dan Asia Tenggara serta yakin kami akan dapat memenuhi matlamat kami untuk pertumbuhan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif edotco Group Suresh Sidhu yang dipetik sebagai berkata demikian dalam kenyataan. – Bernama