BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Stesen Minyak Syarikat Amanah Haji Abdullah dengan kerjasama Malar Maju H&H Enterprise telah berjaya menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 7-Sepasukan bagi bekas pelajar Ma’ahad Islam Brunei (MIB) pengambilan 1984-2010.
Pasukan Pengambilan 2002 muncul juara di dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di padang bolasepak Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, di sini.
Dalam peringkat akhir kejohanan Pasukan Pengambilan 2002 menentang Pengambilan 1998 (B) berkesudahan 3-0 menerusi tandangan penalti.
Kejohanan peringkat akhir kedua pula menyaksikan Pasukan Pengambilan 1995 (B) menentang Pengambilan 1985 yang berkesudahan 1-0, sekali gus tempat ketiga kejohanan disandang oleh Pengambilan 1985.
Hadir selaku tetamu kehormat di dalam peringkat akhir kejohanan tersebut Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, turut hadir bagi sama-sama memberikan sokongan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, Yang Mulia Haji Rais bin Haji Sabtu, Dr Adam bin Haji Jait yang merupakan bekas tenaga pengajar Ma’ahad Islam Brunei, juga wakil dari Jabatan Pengajian Islam dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.

Kejohanan ini telah bermula pada 2 April yang lalu dengan disertai oleh 32 pasukan, sebuah pasukan merupakan pasukan undangan dari gabungan pelajar serta tenaga pengajar Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
Menurut Pengerusi kejohanan, tahun ini merupakan tahun ke dua kejohanan ini dianjurkan. Dengan penyertaan yang semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya ini memberikan gambaran bahawa objektif menjalinkan silaturahim tercapai menerusi aktiviti bersukan seperti ini, tambah beliau.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan kepada johan kejohanan yang disandang oleh Pengambilan 2002. Pengambilan 2002 juga dianugerahkan ‘fair play’ dan Abdul Hadi bin Mat Sa’ad dari pasukan itu telah menerima Anugerah Kasut Emas dalam kejohanan tersebut. Naib johan diraih oleh Pengambilan 1998 (B) sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Pengambilan 1985.