Pengambilan baju larian Hari Kebangsaan 8-10 Jun ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Pembahagian baju larian serta nombor bib sempena Hari Kebangsaan 2020 bagi para peserta yang telah membuat pembayaran akan mula diagihkan selama tiga hari pada 8 hingga 10 Jun ini di keempat-empat daerah.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam kenyataannya yang diterima hari ini, memaklumkan pengagihan secara pandu lalu akan diadakan di tiga daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara di Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Daerah Belait di Kompleks Sukan Mumong; dan Daerah Temburong di Kompleks Sukan Temburong serta Daerah Tutong pengambilannya menerusi kaunter diadakan di Kompleks Sukan Tutong.

Sehubungan dengan itu, para peserta larian adalah dimestikan untuk membawa salinan resit pembayaran semasa pengambilan baju dan nombor bib yang mana pembahagian akan dimulakan pada jam 9 hingga 11:30 pagi dan disambung jam 2 hingga 3:30 petang.

Kementerian juga memohon kerjasama para penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh jawatankuasa larian yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pengambilan baju dan nombor bib dan semasa menunggu giliran masing-masing serta seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.