Pengambilan pusingan kedua HECAS mulai 6 ogos

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pengambilan Pusingan Kedua HECAS 2020 secara dalam talian bagi kemasukan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Politeknik Brunei (PB) bagi tahun akademik 2020/2021 akan bermula pada 6 Ogos ini pukul 8:30 pagi dan akan ditutup pada 27 Ogos pukul 3 petang.

Kementerian Pendidikan memaklumkan perkara berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang turut menyatakan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan adalah di peringkat Ijazah Pertama, Diploma Tertinggi Kebangsaan dan Diploma Level 5.

Kenyataan menjelaskan, HECAS dibukakan kepada pemegang kad pintar Brunei Darussalam yang sah, iaitu kad pintar yang berwarna kuning, unggu atau hijau. HECAS tidak memproses permohonan di bawah skim Latihan Dalam Perkhidmatan atau permohonan orang asing yang tidak mempunyai kad pintar yang tersebut.

Pemohon boleh menggunakan keputusan yang diramal (predicted result) untuk memohon UBD dan UNISSA dengan pemohon yang berjaya akan diberi tawaran bersyarat oleh pihak institusi.

Kenyataan turut mengingatkan bahawa sebelum tarikh tutup, pemohon dikehendaki untuk membuat pembayaran tertunggak melalui aplikasi mudah alih BIBD atau secara tunai di kaun-ter pembayaran di Tingkat 1 Blok B, Unit Tunai dan Hasil, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan dan menghadapkan permohonan dalam talian atau dokumen yang berkenaan (hardcopy) yang diperlukan dalam Institution Checklist.

Bagi keterangan lanjut, layari laman sesawang Kementerian Pendidikan di http://moe.gov.bn atau laman sesawang HECAS yang baharu di hecas.moe.gov.bn. Sebarang pertanyaan, pemohon boleh berhubung terus dengan Pentadbiran HECAS melalui e-mel [email protected] atau melalui talian 2381992 atau 2381224 semasa waktu pejabat.