Oleh Arissa
LIMBANG, 16 Jan – Tindakan seorang penganggur yang cuba untuk menyorokkan dadah disyaki syabu membawa padah apabila kegiatannya itu terbongkar di kawasan Jalan Limpaku baharu di sini tengah hari Jumaat lepas.
Suspek, 20 dari Kampung Limpaong itu ditahan polis jam 12:05 tengah hari ketika sedang menunggang motosikalnya dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, hasil pemeriksaan di bahagian bawah tempat duduk motosikal tersebut, polis menjumpai satu peket plastik yang di dalamnya mengandungi 21 tiub straw dan satu peket plastik lutsinar yang berisi dadah disyaki syabu.
“Suspek yang sudah berkahwin itu juga positif dadah Amphethamine hasil saringan awal polis yang dilakukan ke atasnya,” katanya di sini hari ini.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Dalam kes berasingan Mohd Bukhori berkata lagi seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan nombor ekor haram di belakang sebuah pasaraya di Jalan Bangkita Sabtu lepas.
“Antara barang yang dirampas termasuk wang tunai RM88, seunit telefon bimbit, kertas tertera nombor empat angka dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penjualan nombor ekor haram.
Katanya suspek dan barang rampasan kemudiannya di bawa ke IPD Limbang untuk siasatan di bawah seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
































