Pengangguran di AS cecah 45.7 juta orang

WASHINGTON, 19 JUN – Pengurangan pekerja berpunca daripada pandemik koronavirus di Amerika Syarikat (AS) telah mencecah 45.7 juta, justeru menimbulkan kebimbangan meskipun wujudnya tanda-tanda positif, tatkala ekonomi berdepan pemulihan daripada kemelesetan.

Seramai 1.5 juta pekerja AS memfail tuntutan baharu untuk faedah pengangguran pada minggu lalu, kata Jabatan Pekerja semalam, pengurangan sebanyak 58,000 berbanding minggu sebelumnya dan lebih tinggi secara keseluruhan daripada yang dijangkakan oleh penganalisis.

Ekonomi terbesar dunia telah menyaksikan kemelesetan sejak perniagaan mula ditutup pada pertengahan Mac untuk menghentikan penularan koronavirus, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 13.3 peratus pada Mei dan jutaan pengurangan pekerja dilaporkan setiap minggu.

Dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal, Presiden Donald Trump menekankan jangkaan beliau bahawa ekonomi akan berpulih pada masa pengundi memutuskan sama ada memberikannya penggal kedua.

“Kami akan mewujudkan banyak pekerjaan sebelum 3 November,” beritahu Trump kepada akhbar pada Rabu. “Saya menjangkakan peningkatan besar dalam KDNK. Dan kami akan kembali berpulih.”

Aliran pengangguran mencecah kemuncak pada akhir Mac dan telah berkurangan sejak itu. Namun ia masih mengatasi mana-mana minggu yang dilaporkan semasa krisis kewangan global pada 2008, walaupun apabila kerajaan bertindak membuka semula perniagaan dan pengguna mula berbelanja sekali lagi.

Dalam mesyuarat kongres pada awal minggu, Pengerusi Simpanan Persekutuan Jerome Powell berkata melainkan pengguna rasa yakin COVID-19 telah ditewaskan, ‘pemulihan penuh tidak mungkin berlaku.’

Ketua bank pusat meramalkan pengecutan KDNK dalam suku April-Jun ‘mungkin paling teruk yang pernah dicatat’ dan meminta lebih banyak sokongan diberikan untuk merangsang ekonomi. – AFP