Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengangguran di M’sia menurun 4.6 peratus

    PUTRAJAYA, 8 OKT – Kadar pengangguran di Malaysia menurun 4.6 peratus kepada 748,800 orang pada Ogos tahun ini berbanding 778,200 orang pada Julai, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Ogos 2021.

    Laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos berbanding 15.29 juta orang pada Julai, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

    Bilangan tenaga buruh pula terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos 2021 berbanding 16.07 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding 68.3 peratus pada Julai.

    Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Ogos berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

    “Ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam guna tenaga manakala pengangguran menurun pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Pada Ogos tahun ini, menyaksikan beberapa buah negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Perlis dan Sarawak telah beralih ke fasa tiga pada 4 Ogos kecuali beberapa daerah di Sarawak yang masih kekal dalam fasa dua; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pula masing-masing beralih ke fasa dua dan empat pada 26 Ogos.

    Johor, Kedah, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dalam fasa satu manakala baki enam buah negeri lagi beralih ke fasa dua.

    Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Ogos 2021, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur, dan kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627,500 orang berbanding 651,300 orang pada Julai 2021. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda