Pengangkutan terjejas, penggunaan internet meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu telah memberi impak besar terhadap sektor pengangkutan dan infokomunikasi di negara ini.

Impak berkenaan dapat dilihat dalam perangkaan tahunan berkaitan perkembangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh 2016 hingga suku kedua 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomuniasi (MTIC), hari ini.

Menurut MTIC, pengangkutan bas awam telah mengalami penurunan keseluruhan dari segi kadar jumlah penumpang sehingga 36 peratus dari 2019. Ini adalah bagi mematuhi langkah-langkah pengawalan bagi sama-sama membendung penularan COVID-19 dan juga menjamin kesihatan serta keselamatan para penumpang.

Dari segi pengangkutan udara yang merangkumi perkhidmatan pesawat, pergerakan penumpang dan kargo turut mengalami kemerosotan akibat dari pandemik COVID-19 setelah empat tahun (2016 hingga 2019) mengalami pertumbuhan yang positif.

Perangkaan menunjukkan 2019 adalah tahun yang paling tinggi bagi ketiga-tiga perkhidmatan pengangkutan udara. Sebagai langkah-langkah keselamatan bagi pengawalan COVID-19, Negara Brunei Darussalam telah mengehadkan penumpang masuk dan keluar dari negara ini.

Oleh itu, pergerakan penumpang di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 80.7 peratus bagi penumpang yang masuk dan 81.2 peratus bagi penumpang yang keluar jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, perangkaan mencatatkan jumlah pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mengalami penurunan sebanyak 69 peratus pada tahun 2020.

Bagi pergerakan kargo masuk, catatan tertinggi adalah pada 2019 sebanyak 14,500,107kg manakala kargo keluar mencatatkan tahun 2018 yang tertinggi sebanyak 10,445,281kg.

Akan tetapi, jumlah kargo masuk dan keluar telah menurun semasa pandemik COVID-19 melanda pada tahun lepas.

Perangkaan bagi sektor pengangkutan laut melibatkan jumlah kontena kapal (20 foot Equivalent Unit –TEUs), kargo dan kapal-kapal yang melabuh di Pelabuhan Muara.

Penurunan paling ketara adalah jumlah kapal penumpang dan ini adalah disebabkan oleh pengawalan yang dibuat bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 serta pengurangan operasi perjalanan.

Akan tetapi, bagi car carrier yang melalui Pelabuhan Muara menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu dari jumlah 52 hingga 57.

Berhubung jumlah transhipment, perbandingan bagi 2020 dan tahun ini sehingga Ogos telah menunjukkan perbezaan yang amat ketara iaitu meningkat dari lapan hingga 326
TEUs.

Sementara itu, dalam sektor infokomunikasi pula, landskap pengguna bagi perkhidmatan telekomunikasi telah berubah pada 2020 bertepatan dengan pengenalan Syarikat UNN dan seterusnya impak COVID-19 telah menunjukkan peningkatan secara kumulatif jika dibandingkan dari 2016 sehingga Ogos 2021.

Pada 2020, pelanggan jalur lebar mudah alih berkurangan sebanyak 16.5 peratus manakala pelanggan jalur lebar tetap telah meningkat sebanyak 30.7 peratus.

Antara faktor yang menyebabkan perubahan ini adalah peningkatan dalam penggunaan Internet untuk pembelajaran sekolah dan bekerja dari rumah (WFH) serta promosi produk dari syarikat-syarikat telekomunikasi.

Perangkaan berkenaan dihasilkan oleh MTIC melalui kerjasama dengan jabatan-jabatan serta agensi dan pihak-pihak berkuasa di bawahnya dengan tujuan untuk menyebarluaskan perangkaan rasmi data-data dari tahun kebelakangan dan yang terkini mengenai sektor-sektor pengangkutan dan infokomunikasi.