Penganjur gesa segerakan bayaran pemenang LTdL 2020

KUALA LUMPUR, 22 MEI – Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd digesa supaya mempercepatkan bayaran wang kemenangan kepada pelumba tempatan yang meraih kejayaan pada perlumbaan berbasikal terulung Asia berkenaan.

Pakar pecut Terengganu Inc. TSG Cycling Team Mohd Harrif Saleh berkata, beliau bimbang generasi muda yang berminat menceburi sukan berbasikal terutama pelumba tempatan, akan beralih arah ke sukan lain sekiranya trend pembayaran lewat terus berlaku, dalam penganjuran kejohanan berbasikal di negara ini.

“Macam saya tak terkesan sangat sebab saya ada kontrak dengan TSG, jadi dapat elaun bulanan daripada pengurusan TSG, selain pendapatan daripada perniagaan rempah segera ikan bakar yang diusahakan bersama isteri saya, tapi bagaimana nasib pelumba tempatan yang lain?

“Saya agak sedihlah sebab perkara ini (kelewatan bayaran wang kemenangan) kerap terjadi dalam perlumbaan berbasikal tempatan, dan pihak penganjur sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan bayaran segera kepada pelumba tempatan, memandangkan kebanyakan mereka berpenat lelah berkayuh di bawah panas terik,” katanya kepada Bernama. – Bernama