Penganjuran pertandingan sukan dibenarkan 28 sept ini

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Penganjuran pertandingan sukan atau kejohanan mula dibenarkan 28 September ini dan hanya di benarkan kepada enam jenis sukan individu sahaja sebagai pengemaskinian garis panduan pelan de-escalation bagi acara sukan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menjelaskan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menjelaskan, enam jenis sukan tersebut ialah badminton, squash, tenis, pingpong, sepak takraw dan golf dan ke arah pengemaskinian itu, beberapa garis pandu perlu dipatuhi.

Penganjuran dihadkan kepada perlawanan individu atau beregu saja dan pihak penganjur juga disarankan untuk menyediakan jadual perlawanan yang teratur bagi mengelakkan perkumpulan ramai dalam satu masa.

“Selain itu, penganjur juga dimestikan untuk mendapatkan kebenaran bagi menganjurkan pertandingan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti lazimnya dan menghadapkan perancangan langkah-langkah pengawalan COVID-19 selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan semasa menghadapkan permohonan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menjelaskan pengemaskinian garis panduan pelan de-escalation tahap keempat.

Sementara peserta pula diingatkan untuk meninggalkan fasiliti sukan sebaik saja selesai perlawanan atau acara penyampaian hadiah.

Kehadiran para penonton adalah tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, pihak penganjur hendaklah memastikan kehadiran semasa pertandingan adalah di tahap yang terhad iaitu hanya kepada peserta, jurulatih, pengurus dan jawatankuasa penganjur sahaja.

Sehubungan itu, pihak penganjur dan peserta juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan khususnya dalam mengamalkan tanggungjawab sosial dan penjarakan fizikal.

Di samping itu, pihak penganjur memastikan menyediakan dan menggunakan kod QR aplikasi BruHealth bagi sebarang penganjuran serta memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa demi memastikan keselamatan semua pihak.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan mengenai peningkatan pelan de-escalation dari tahap ketiga ke tahap ke empat bagi kolam renang.

Di bawah tahap keempat, kapasiti kolam renang ditingkatkan dari 80 peratus ke 100 peratus serta tidak melebihi 100 orang dalam satu masa, tertakluk kepada kapasiti kolam renang dan garis panduan lain sama seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau seterusnya menambah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sangat menyambut baik semangat orang ramai untuk terus bersukan dan memelihara kecergasan masing-masing melalui pelbagai aktiviti fizikal dalam mempraktikkan cara hidup yang sihat.

Statistik menunjukkan lebih 480 ribu individu telah menggunakan fasiliti-fasiliti sukan sejak ia mula dibukakan dan jumlah ini tidak termasuk aktiviti mendaki bukit dan berlari.

Dengan pengemaskinian garis pan-duan ini, diingatkan kepada orang ramai untuk tidak bersikap leka dan diseru terus mematuhi garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Pihak penganjur turut mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap garis panduan sentiasa dipatuhi bagi setiap penganjuran dan hendaklah mengambil langkah keselamatan semasa menjalankan aktiviti ataupun perlawanan.

Untuk keterangan lanjut mengenai pengemaskinian garis panduan secara terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dan Kementerian Kesihatan, orang ramai boleh melayari laman web www.kkbs.gov.bn.