Penganjuran sukan rekreasi dibenarkan 7 Sept

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dalam garis panduan yang telah dikemas kini memaklumkan bahawa penganjuran acara sukan bagi sukan rekreasi adalah dibenarkan bermula 7 September, akan tetapi penganjuran pertandingan sukan adalah masih belum dibenarkan buat masa ini.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Semasa sesi sidang media tersebut, beliau menjelaskan bahawa penganjuran sukan rekreasi yang dibenarkan adalah seperti berjalan kaki dan berlari, berbasikal dan senam gerak badan iaitu senamrobik dan taici.

Beliau turut menegaskan pihak penganjur hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bagi menganjurkan sebarang acara rekreasi daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti lazimnya. Selain itu, pihak penganjur juga dimestikan untuk menghadapkan perancangan langkah-langkah pengawalan COVID-19 selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan semasa menghadapkan permohonan dan jumlah penyertaan adalah dihadkan berpandukan kepada garis panduan perhimpunan ramai.

Beliau juga mengingatkan, garis panduan lain bagi pusat-pusat sukan adalah sama seperti sebelumnya dan ini termasuk sukan berpasukan yang hanya membenarkan seramai 15 orang dalam sepasukan bagi menjalani latihan sahaja.

Dengan perubahan ini, diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan khususnya dalam mengamalkan tanggungjawab sosial dan penjarakan fizikal. Di samping itu, orang ramai hendaklah memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa untuk memastikan keselamatan semua pihak.

Beliau turut mengongsikan setakat ini seramai 374,891 penggunaan telah dicatatkan di beberapa pusat dan fasiliti sukan sejak ia dibuka, di mana 307,822 menggunakan gim, pusat-pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup dan fasiliti sukan luar (outdoor). Sementara itu, seramai 37,951 telah menggunakan padang golf, 8,504 mengunjungi pusat-pusat boling dan seramai 20,744 orang telah menggunakan kolam renang.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sesi sidang media tersebut.- Gambar oleh Syahmi Hassan