Pengantin jual hadiah kahwin, senapang AK47

BERLIN, 20 OGOS – Seorang wanita Jerman yang menyertai kumpulan Islamic State (IS) menghadapi masalah semasa krisis sehingga dia terpaksa menjual hadiah perkahwinannya, selaras senapang AK47, menurut pendakwa di Jerman.

Dalam satu kenyataan hari ini, pendakwa persekutuan Jerman berkata mereka telah mendakwa Zeynep G atas tiga tuduhan mengambil bahagian dalam aktiviti ‘pertubuhan pengganas asing,’ mencabul undang-undang kawalan senjata dan melakukan jenayah perang.

G, seorang warga Jerman dengan nama terakhir tidak dikeluarkan atas sebab-sebab peribadi, didakwa telah berkunjung ke Syria pada September atau Oktober 2014 untuk menyertai kumpulan pelampau itu. Selepas berkahwin dengan seorang pejuang Chechen, dia menguruskan keluarganya dan menggunakan media sosial untuk menggesa seorang kawan di Jerman supaya menyertai IS.

Ekoran kematian suami pertamanya, dia berkahwin dengan anggota IS Jerman pada Oktober atau November 2015 dan berpindah ke kubu kumpulan di Raqqa. Pendakwa Jerman berkata pasangan itu menghuni rumah seorang anggota yang telah melarikan diri dari IS, yang bersamaan dengan rampasan di bawah undang-undang antarabangsa dan dianggap satu jenayah perang.

Pendakwa berkata wanita itu meminta senapang Kalashnikov sebagai hadiah perkahwinan dan berlatih cara-cara menggunakannya, tetapi selepas beberapa minggu ‘ia terpaksa dijual disebabkan masalah kesempitan wang.’ – AP