Pengantin mati isteri dibenar pulang

COLOMBO, 15 Mei – Seorang warga Britain yang isterinya meninggal dunia semasa bulan madu mereka dua hari selepas tiba di Sri Lanka telah dibenarkan untuk pulang selepas mahkamah membatalkan tegahan perjalanan hari ini.

Khilan Chandaria, 33, berkata dia mungkin akan pulang pada Khamis selepas mengucapkan terima kasih kepada beberapa warga Sri Lanka yang membantunya semasa tragedi tersebut.

“Apabila saya mengetahui yang saya boleh pulang, perkara itu akhirnya menyedarkan saya yang saya akan pulang tanpa isteri saya,” Chandaria memberitahu AFP menerusi telefon dari resort selatan bandar Galle.

Katanya, mayat isterinya Usheila Patel, 31, dihantar pulang hari ini ketika mahkamah memutuskan inkues penuh kematian isterinya pada Ogos.

Majistret Galle, Pavithra Pathirana membatalkan tegahan itu kerana Chandaria tidak dianggap sebagai suspek.

Pasangan itu mendaftar masuk ke hotel Amari Galle pada 23 April, empat hari selepas perkahwinan mereka dan jatuh sakit dua hari kemudian.

Jurucakap Amari, Russell Cool memberitahu AFP minggu lalu yang pasangan itu pada awalnya enggan mendapatkan rawatan perubatan di hospital tempatan, namun kemudian meminta bantuan beberapa jam selepas itu.

Patel disahkan meninggal dunia di hospital. “Pasangan itu dijamu hidangan ringan yang hotel sediakan kepada para tetamu lain pada waktu yang sama namun tidak mengalami apa-apa,” Cool memberitahu AFP. – AFP