Pengantin maut dalam kemalangan trak

MANILA, 9 JUN – Tiga belas orang termasuk seorang pengantin dan dua kanak-kanak terbunuh apabila trak yang mereka naiki selepas menghadiri upacara perkahwinan tradisional terbabas di jalan pergunungan, kata polis hari ini.

Trak itu membawa 53 penumpang di timur wilayah Camarines Sur semalam dan sedang melalui lebuh raya apabila ia hilang kawalan, mencederakan berpuluh orang lain, kata penyiasat polis bandar San Fernando Victor Quinao.

Kumpulan itu datang daripada kumpulan yang mengambil bahagian dalam tradisi Filipina di mana seorang lelaki dan keluarganya melawat rumah wanita untuk melamarnya, kata Quinao, menambah pengantin adalah antara mereka yang terkorban.

“Trak hilang kawalan dan terbabas, menghumban beberapa penumpang sementara yang lainnya terhimpit,” beritahu Quinao kepada AFP, menambah masih tidak jelas kenapa bakal pengantin berada dalam kenderaan itu.

“Ia merupakan sebuah trak pembuangan yang digunakan untuk membawa tanah dan pasir dan dimiliki oleh kerajaan tempatan. Nampaknya ia dipinjam untuk acara itu. Penumpang meletakkan bangku dalam trak sementara yang lainnya berdiri.” – AFP