Pengarah filem M’sia papar karya kepada penonton Jepun

KUALA LUMPUR – Pembuat filem Malaysia yang berpangkalan di Jepun, Lim Kah Kai ingin berkongsi impian dunia baharu yang lebih baik menerusi paparan ‘pokok bunga sakura yang mekar berterusan’ dalam babak terakhir triloginya bertajuk Come and Go, yang berlatar belakangkan bandar Osaka di Jepun.

Come and Go, kesinambungan daripada dua filem sebelumnya iaitu New World dan Fly Me to Minami yang diterbitkan 10 tahun lepas, adalah filem Lim yang terbaik setakat ini dan ia memaparkan ketabahan pekerja tempatan dan asing yang berusaha untuk mencapai impian masing-masing di sebuah negara yang sedang mengalami lonjakan industri pelancongan, filem dan konsep halal.

Lim berasa amat terharu apabila filem ini telah dipilih untuk dipersembahkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33 (TIFF), yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 9 November.

“Festival ini adalah satu peluang bagi saya untuk memaparkan filem saya kepada penonton Jepun (layar besar) kerana kebanyakan pawagam di Jepun telah dibuka semula berikutan kelonggaran perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19,” katanya kepada media dalam satu temubual baru-baru ini.

Lim yang kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada Januari tahun ini, “terkandas” buat seketika di negara ini apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac. Beliau kemudian pulang ke Osaka, yang mana beliau banyak menghabiskan waktunya di sana, awal bulan ini.

Lim Kah Wai (kanan) bersama pelakon Vietnam, Lien Binh Phat. – Bernama
Antara babak dalam filem Fly Me to Minami yang diterbitkan oleh Lim Kah Wai. – Agensi
Pembuat Filem Malaysia, Lim Kah Wai (kanan) bersama dengan Pengarah Fotografi, Furuya Koichi. – Bernama

Lim, 47, yang berkelulusan jurusan kejuruteraan elektrik dari Universiti Osaka pada tahun 1998, bekerja di Tokyo selama enam tahun sebelum berhenti untuk belajar selok-belok bidang pengarahan di Akademi Filem Beijing di China. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lapan filem termasuk trilogi ini.

Lim memenangi Anugerah Sumbangan Penonton dan Teknikal daripada Cineastes Organisation Osaka atas hasil trilogi pertamanya New World yang berkisar mengenai pengalaman seorang pelancong China di Jepun yang tidak pernah mengenali negara itu, dan bersandarkan sejarah dan pesona Osaka.

Lapan cerita pendek

Come and Go, yang bersaing untuk anugerah penonton di TIFF, menampilkan lapan cerita pendek – difilemkan dengan berlatar belakang keindahan musim bunga sakura yang memukau – dengan 14 watak utama pan-Asia yang berasal dari Taiwan, Vietnam, Malaysia, Myanmar , Nepal, Hong Kong, China, Korea Selatan dan Jepun.

“Itulah realiti kehidupan (sekarang) yang tidak mengira sama ada mereka itu orang Jepun atau asing, yang lebih tertutup dan terhalang dengan tidak mempedulikan masalah politik atau masalah lain yang mempengaruhi masyarakat kerana tujuan utama mereka hanyalah untuk mendapatkan wang sebanyak mungkin,” jelasnya.

Mengenai perbezaan antara Come and Go dan dua filemnya yang terdahulu, Lim berkata, filem terbarunya itu memaparkan Osaka sebagai bandar kosmopolitan yang lebih rancak berbanding 10 tahun yang lepas.

“Bandar ini menjadi magnet kepada para eksekutif perniagaan dan lebih ramai orang asing bekerja di sana. Sektor pelancongan juga berkembang pesat, yang didorong oleh penerbangan AirAsia ke Jepun, ” katanya,

Beliau berkata, walaupun Osaka sebagai sebuah kota yang seragam di Jepun telah dibuka untuk orang asing terutama dengan kebanjiran kemasukan pekerja asing – halangan budaya dan sosial masih dialami.

“Kebanyakan watak dan episod dalam Come and Go berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya sendiri mengenai impian dan tujuan orang Jepun dan asing termasuk kerangka sosialnya,” tegas Lim.

Triler cemas

Cerita pendek dalam Come and Go ini – diarah, ditulis dan diedit oleh Lim dan tempoh penayangan mengambil masa 158 minit.

Mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap pawagam, Lim berkata, di Jepun, orang ramai kini berusaha untuk menghidupkan semula kehidupan mereka setelah sekian lama berhadapan deflasi dan penurunan harga barang pengguna, serta pandemik COVID-19, dan mereka kini menyedari betapa pentingnya pawagam dan industri filem dalam kehidupan mereka.

Semasa di Malaysia baru-baru ini, Lim sempat mengembara ke seluruh Sabah dan Sarawak selama satu setengah bulan selepas kelonggaran perintah kawalan pergerakan, untuk mencari inspirasi bagi filemnya yang seterusnya, berkemungkinan akan ditetapkan pengembaraannya di satu daripada negeri-negeri di Borneo.

“Saya sedang memikirkan sebuah filem triler yang penuh cemas berlatar belakang tepi pantai yang indah di Sabah atau Sarawak. Mudah-mudahan, saya dapat menyiapkan skripnya tahun hadapan dan menemui beberapa penerbit dan merealisasikannya,” tambahnya.

Pembuat filem ini juga pernah membuat penggambaran filemnya di luar Asia seperti di wilayah Balkan iaitu di Slovenia dan Croatia dan kini bersiap sedia untuk menerokai Turki. – Bernama