Pengarah Jelajah Perancis positif COVID-19

SAINT-MARTIN-DE-RE, PERANCIS, 8 SEPT – Pengarah Jelajah Perancis Christian Prudhomme telah diuji positif COVID-19 tetapi semua pelumba dalam kumpulan adalah negatif, kata penganjur hari ini.

Prudhomme kini mesti meninggalkan perlumbaan selama seminggu untuk menjalani kuarantin.

Prudhomme, yang tidak menunjukkan simptom, berkata beliau telah diuji negatif dijangkiti koronavirus tiga kali sebelum bermulanya perlumbaan tahun ini pada 6, 20 dan 27 Ogos.

Peranannya sebagai ketua penganjur bermakna beliau menghadiri sejumlah besar acara sosial semasa perlumbaan. Pada Sabtu, beliau mengiringi Perdana Menteri Perancis Jean Castex apabila perdana menteri itu melawat perlumbaan berkenaan.

“Saya meninggalkan jelajah sekarang untuk seminggu, saya akan melakukan apa yang patut dilakukan oleh mana-mana pekerja Perancis dalam kes ini,” beritahunya kepada AFP.

Francois Lemarchand memasuki kereta pengarah perlumbaan selepas mengganti Christian Prudhomme buat sementara waktu apabila Prudhomme diuji positif COVID-19 sebelum permulaan peringkat 10 perlumbaan Jelajah Perancis, kelmarin. – AP

“Saya akan menyaksikan jelajah di televisyen, sesuatu yang belum pernah saya lakukan selama 15 tahun,” tambah Prudhomme yang telah menganjurkan jelajah sejak 2007.

Beliau berkata beliau tidak terkejut kumpulan pelumba semuanya diuji negatif, berkata ‘pelumba hidup seperti sami atau tentera.”

Minat mendalam telah menyelubungi keputusan ujian swab 652 apabila pelumba tiba dengan bas di garisan permulaan peringkat 10 di Pulau Atlantik Oleron.

Di bawah protokol koronavirus ketat yang dikuatkuasakan, mana-mana pasukan yang kembali dengan dua atau lebih ujian PCR positif, sama ada mereka adalah pelumba, pengurus, doktor, tukang urut atau mekanik, berdepan risiko disingkirkan.

Keputusan ujian diumumkan sebelum perlumbaan hari ini di antara dua Pulau Atlantik Oleron dan Re, kedua-duanya kini dihubungkan ke daratan Perancis oleh jambatan jalan. – AFP