Pengarah upacara pembukaan Olimpik Tokyo dipecat

TOKYO, 22 JULAI – Pengarah upacara pembukaan Olimpik Tokyo 2020, Kentaro Kobayashi, dipecat susulan kenyataannya mengenai ‘Holocaust’ tular semula di media sosial, lapor Xinhua.

Tindakan itu diambil penganjur Tokyo 2020 sehari sebelum upacara pembukaan sukan itu yang dijadualkan pada Jumaat malam.

“Kami meminta maaf kepada pihak berkepentingan, Tokyo dan rakyat Jepun atas apa yang berlaku, apatah lagi kejadian ini berlaku sebelum upacara pembukaan,” menurut kenyataan pihak penganjur.

Kobayashi dikatakan mempersendakan Holocaust dalam sebuah program komedi pada 1998. 

Holocaust merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Nazi ketika Perang Dunia Kedua.

“Berikutan pemecatan itu, pihak kami sedang membincangkan bagaimana upacara itu akan dikendalikan,” kata Presiden Tokyo 2020 Seiko Hashimoto pada sidang media hari ini. – Bernama