Wednesday, December 7, 2022
22.5 C
Brunei

-

Pengaruh Hollywood beri kesan pada jualan komik

SAN DIEGO – Pusat Konvensyen San Diego dikerumuni oleh orang ramai sebaik sahaja pintu bagi acara Comic-Con dibukakan.

Peminat yang memiliki pas untuk acara empat hari itu setentunya berasa teruja untuk berada di pusat itu bagi menyaksikan sendiri sisipan paparan rancangan televisyen, televisyen dan permainan video yang bakal dilancarkan pada skrin televisyen sebesar 460,000 kaki persegi.

Di samping itu terdapat juga petak pameran yang menampilkan figura permainan, seni dan buku komik yang turut dijual.

Malah, sesi perbincangan, persembahan dan juga penampilan selebriti pula dijangka turut memeriahkan acara.

Tony Saxon, 49, membawa dua beg besar yang mengandungi koleksi permaianan untuk dipamerkan di petak pameran Hasbro pada acara tersebut.

Karakter dari filem Power Rangers turut ditampilkan di Pameran Comic-Con 2017 di San Diego. – AP
Karakter dari filem Power Rangers turut ditampilkan di Pameran Comic-Con 2017 di San Diego. – AP

“Saya telah membelanjakan sekitar AS$700 dan ia baru pada peringkat permulaan dan se-tentunya lebih banyak permainan yang bakal menjadi koleksi saya,” jelas Saxon yang menghadiri acara Comic-Con sejak tahun 1993.

Para pengunjung setentunya berada di sebuah pusat yang bukan sahaja menayangkan video bahkan juga turut menampilkan karakter gergasi bagi watak-watak baru yang ditampilkan dalam filem, permainan video dan permainan.

Syarikat pengeluar permainan, Mattel mengeluarkan replika gergasi ‘batmobile’ dari Justice League.

Watak-watak zombi pula menghiasi petak pameran The Walking Dead dan pengunjung juga setentunya berasa teruja tatkala melihat karakter-karakter dari siri animasi Yu-Gi-Oh berada di alam realiti.

“Saya baru sahaja tiba di pusat ini dan ternyata ia penuh sesak namun perkara tersebut jelas tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengungunjunginya kerana ia sangat menyeronokkan terutama apabila dapat berkumpul dengan individu yang memiliki minat yang sama,” jelas Miles Messenger, 35, tatkala dia berbaris panjang untuk membeli permainan eksklusif di petak pameran Nickelodeon.

Acara Comic Con telah mula dianjurkan pada tahun 1970 dengan penyertaan dari 300 peserta yang kebanyakkannya terdiri dari pengusaha buku komik dan ia jelas semakin berkembang pesat apabila berjaya menerima sebanyak 130,000 penyertaan termasuk dari media terkemuka seperti Netflix, Warner Bros., Fox, HBO dan Marvel Studios.

Sementara dunia popular menaikkan taraf Comic-Con, kebanyakan peminat komik pula berpendapat bahawa langkah promosi itu juga turut mengenepikan jualan buku dan komik pada acara tersebut.

“Saya rasa antara penulis yang mula mendapat perhatian pada tahun ini adalah Chuck Rozanski dari Mile High Comics dan syarikat itu enggan menyertai acara Comic Con pada tahun ini memandangkan tumpuan para pengunjung kelihatan lebih terarah kepada dunia popular Hollywood sekali gus mengenepikan jualan komiknya berbanding apa yang terjual di kedai dan ia jelas merupakan satu kerugian,” jelas Harry Knowles, pengasas kepada laman Ain’t It Cool News dan pengunjung setia acara Comic Con sejak tahun 1971.

Antara seni cosplay yang mendapat perhatian di kalangan para pengunjung di San Diego. – AP
Antara seni cosplay yang mendapat perhatian di kalangan para pengunjung di San Diego. – AP
Watak zombi menggerunkan dari siri The Walking Dead turut dipamerkan. – AP
Watak zombi menggerunkan dari siri The Walking Dead turut dipamerkan. – AP

Antara tumpuan utama para pengunjung Comic Con pada tahun ini adalah paparan sisipan siri drama terbaru Stranger Things 2 dan Marvel The Defenders dari Netflix, Game of Thrones dan Westworld dari HBO serta Justice Leage dan Blade 2049 dari Warner Bros di samping tayangan treler filem Ready Player One yang diadaptasi dari karya Steven Spielberg.

Jamie Newbold yang telah menghadiri acara Comic Con sejak tahun 1972 dan menjual komik selama 20 tahun di sana menjelaskana bahawa tatkala syarikat hiburan besar mula menjadi tumpuan pada acara tersebut secara tidak langsung turut memberi kesan kepada peniaga kecil di mana turut dikenakan bayaran ruang pameran yang agak mahal.

Pemilik Southern California Comics dari San Diego itu telah berfikir panjang sebelum membawa jumlah komik untuk dijual di acara tersebut dan hanya membawa sekitar 15,000 naskhah berbanding tiga kali ganda dari jumlah tersebut suatu ketika dahulu.

“Ternyata bukan saya sahaja yang merasakan perkara ini kerana ramai juga peniaga kecil-kecilan dari Los Angeles, Colorado dan New Orleans yang secara tidak langsung berasa tercabar dengan saingan dari syarikat korporat yang turut membuka petak pameran di acara ini walhal kami setentunya memerlukan pulangan keuntungan yang memuaskan hasil pelaburan kami dalam menyertai acara ini,” jelas Newbold.

Newbold turut berharap agar Comic-Con boleh menganjurkan acara ulang tahun ke-50 tahun dengan menampilkan buku komik vintaj dan sukar untuk diperolehi.

Jud Meyers, pengasas kepada Blastoff Comics di Los Angeles pula masih ingat kenangan tatakala jualan buku komik mendominasi acara di pusat konvensyen ini dan jelas berasa sedih tatkala kini kegemilangan itu lebih berpihak kepada studio terkemuka dan pameran permainan video.

“Namun hakikatnya kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya kepada pengaruh Hollywood memandangkan jumlah kedai menjual buku komik juga semakin berkurangan dan begitu juga trend perubahan semasa,” jelas Meyers.

Ia adalah cukup jelas bahawa para pengunjung yang datang ke acara Comic-Con merupakan peminat kepada dunia fiksyen sains, adiwira dan pelbagai genre yang lain di mana ia secara tidak langsung menghubungkan di antara karakter kegemaran mereka dengan filem, televisyen, permainan, seni cosplay dan begitu juga komik.

Knowles yang juga penerbit kepada filem dokumentari Comic-Con Episode IV Fan’s Hope yang ditayangkan pada tahun 2011 menjelaskan bahawa acara Comic Con bukan menjadi satu persaingan di antara dunia popular Hollywood dengan buku komik.

“Comic Con bukan acara untuk melihat siapa bakal menjadi pemenang bahkan ia lebih kepada sebuah tempat yang cuba untuk memuaskan hati setiap pembeli tiket sekali gus membuatkan mereka berasa gembira sepanjang berada di acara Comic-Con,” jelas Knowles. – AP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -