KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pengaruh kosmetik halal termasuk dari Asia kini semakin berkembang di Barat berdasarkan aliran permintaan semasa.
Pengarah Urusan UBM Asia (Perniagaan ASEAN), M.Gandhi berkata ini turut berkait rapat dengan kelebihan produk-produk Asia yang mengandungi bahan semula jadi serta bercirikan organik khususnya bagi tujuan anti-penuaan.
UBM Asia merupakan antara penggerak Ekspo Kecantikan Antarabangsa Malaysia (Beautyexpo17) yang masuk edisi ke-17 penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini dan bermula hari ini sehingga 9 Okt, 2017.
“Kosmetik halal semakin mendapat tumpuan utama dan potensi bagi produknya pula terus berkembang pesat di pasaran,” katanya pada majlis pelancaran ekspo itu hari ini.
Gandhi berkata, permintaan terhadap kosmetik halal juga membabitkan pelbagai segmen penduduk, tanpa mengira agama dan bangsa.
Produk itu menjadi pilihan dari segi manfaat asas kesihatan, kaedah pengeluarannya yang tidak menzalimi haiwan serta kebersihan bahan-bahan asasnya.
Acara Beautyexpo17 selama empat hari itu dijangka menarik 20,000 pengunjung dan disertai 200 syarikat dari 26 negara termasuk Korea Selatan, Jepun, China dan Singapura. – Bernama