Pengasas Huawei terus optimis berdepan ancaman

SHENZHEN, CHINA, 8 NOV – Selama beberapa dekad, pengasas Huawei, Ren Zhengfei berdiam diri daripada terdedah kepada orang ramai tatkala syarikatnya kian berkembang menjadi rangkaian yang terbesar bagi pengeluaran telefon dan menandingi Apple sebagai jenama telefon pintar terkemuka.

Kini Ren kembali ke bidang perniagaan ini tatkala telefon pintar Huawei Technologies Ltd. sedang berhadapan dengan ancaman terbaharu iaitu sekatan Amerika Syarikat dan amaran dalam risiko keselamatan.

Usahawan jutawan itu bagaimanapun berkata ancaman sekatan yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump itu tidak sedikit pun menjejaskan pertumbuhan syarikatnya dan mampu bertahan menghadapi pelbagai ancaman baharu yang timbul.

Beliau juga melihat sekatan itu adalah sebagai ujian terbaharu dalam usaha syarikatnya untuk terus berkembang sebagai sebuah syarikat yang berjaya.

“Bagaimanapun, selama tiga dekad, Huawei juga berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman daripada pelbagai sudut,” kata Ren dalam satu wawancara sambil menambah bahawa setiap masalah itu muncul dengan keadaan yang berbeza. Ren dan syarikatnya telah berdepan dengan sekatan AS hampir satu dekad. Pentadbiran Trump telah membuat keputusan untuk menaikkan kadar tarif tahun ini dengan mengenakan sekatan ke atas penjualan teknologi AS kepada Huawei dan menggesa rakan sekutu Eropah dan lain-lain untuk menghindari syarikat itu kerana mereka bersedia untuk melancarkan rangkaian telekom generasi akan datang. – AFP

Gambar fail pada 20 Ogos 2019 menunjukkan Ren Zhengfei ketika berada di pejabatnya di Kampus Huawei di wilayah Guangdong, China. – AP