Pengasas Yes Bank India diberkas

MUMBAI, 8 MAC – Pengasas Yes Bank India diberkas hari ini atas tuduhan pengubahan wang haram, di tengah-tengah usaha bagi merumuskan pelan strategik ke atas peminjam swasta keempat terbesar negara itu.

Dalam tindakan lewat malam Jumaat lalu, Bank Pusat telah mengambil alih kawalan dan mengenakan had pengeluaran ke atas bank berkenaan yang sebelumnya berdepan situasi pinjaman yang sangat teruk. Rana Kapoor ditahan kira-kira jam 3 pagi hari ini selepas disoal siasat selama lebih daripada 20 jam oleh pegawai-pegawai dari pejabat penguatkuasaan, agensi perisikan kewangan India, di Mumbai.

“Dia ditangkap kerana tidak memberi kerjasama dalam siasatan,” kata seorang pegawai penguatkuasa yang tidak mahu dikenali kepada AFP. Yes bank telah mengesahkan penangkapan itu. Pegawai penguatkuasa sebelum ini telah menyerbu kediaman mewah tertuduh di kejiranan Mumbai. Had pengeluaran sehingga 50,000 rupee (AS$678) setiap 30 hari telah mendorong pelanggan untuk bergegas ke ATM dan cawangan Yes Bank Jumaat dan Sabtu lalu dalam usaha terdesak untuk mendapatkan deposit mereka. – AFP

Reaksi Rana Kapoor selepas penahanannya di Mumbai, kelmarin. – AFP